Terharu rumah dibaik pulih

Friday, December 29, 2017

Terharu rumah dibaik pulih

Terharu rumah dibaik pulih

BAGAN SERAI: "Hanya Allah yang mampu membalas segalanya," kata Kistina Karo, selepas rumahnya di Kampung Tebuk Matau, Simpang Empat, Semanggol, di sini, siap dibaik pulih. 

Rumah yang terbengkalai sejak 2014 itu dibaik pulih oleh kontraktor tempatan dengan kos dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI). 

Kistina, 35, yang kehilangan suami pada Jun lalu, hidup dalam kemiskinan dan terpaksa tinggal di sebuah rumah yang belum siap pembinaannya sejak kira-kira tiga tahun lalu. 

Lebih menyedihkan apabila beliau dan empat anaknya berusia antara lapan bulan dan 14 tahun, terpaksa berhimpit di dalam sebuah bilik kecil, manakala pintu utama rumah itu pula hanya menggunakan papan lapis. 

Kehidupan lima sekeluarga itu ketika ini hanya mengharapkan belas kasihan ipar dan penduduk kampung.

"Alhamdulillah, ini hadiah 'tahun baharu' yang amat bermakna. Kini, kami sekeluarga tidak lagi berhimpit dalam bilik kecil. Rumah kami jauh lebih selesa berbanding dahulu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, SSI turut memberi bantuan kewangan dan membolehkan tiga anaknya, Mohd Hakimi Rosni 14; Mohd Ridzuan,12 serta Nur Erisa Maisara, 5; meneruskan persekolahan pada tahun depan. 

"Wang itu juga boleh saya gunakan untuk beli susu dan lampin untuk anak bongsu, Mohd Alfian Mikail, yang berusia lapan bulan. 

"Duit sumbangan ini juga akan saya gunakan untuk berniaga secara kecil-kecilan di rumah bagi menampung kehidupan kami lima beranak," katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Azizul Rahman Mohammad, berkata pihaknya terpanggil membantu keluarga malang itu ketika melakukan kunjungan menyampaikan wang bantuan zakat pada Ramadan lalu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment