MRA agih 160 pek kebersihan, kelangsungan hidup

Saturday, December 2, 2017

MRA agih 160 pek kebersihan, kelangsungan hidup

MRA agih 160 pek kebersihan, kelangsungan hidup

KUALA LUMPUR: Malaysia Relief Agency (MRA) menghulurkan 160 pek kebersihan dan kelangsungan hidup kepada mangsa banjir di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, Kelantan.

Misi penyampaian bantuan kepada 35 keluarga yang dilaksanakan semalam itu diketuai Exco Logistik MRA Kelantan, Ahmad Safwan Abd Rahman dan pasukan MRA Kedah diterajui Setiausahanya, Ramlah Mohd Salleh.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata operasi itu menggunakan dua bot dengan sokongan kenderaan pacuan empat roda (4WD) kerana penduduk kampung berkenaan enggan berpindah meskipun paras air meningkat sehingga kira-kira dua meter.

"Tinjauan petugas MRA mendapati majoriti penduduk kampung membuat persediaan awal dan hanya akan berpindah jika keadaan banjir luar biasa.

"Kebimbangan terhadap keselamatan harta benda adalah faktor utama, justeru mereka memilih untuk terus menghuni rumah yang separa tenggelam," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Ahmad Safwan Abd Rahman (kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah di Tumpat, Kelantan, semalam. - Foto Ihsan MRA

Dr Mohd Daud berkata, MRA turut membuka sebuah depoh logistik sementara di Dungun, Terengganu untuk dijadikan pusat pengumpulan dan penyediaan pek makanan, kebersihan dan kelangsungan hidup sebelum diagih kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Katanya, bantuan berkenaan diraih daripada sumbangan agensi korporat serta orang awam.

"Rakyat Malaysia atau pertubuhan kebajikan prihatin yang ingin menghulurkan bantuan kepada Tabung Bencana Banjir MRA 2017 yang diwujudkan sejak Oktober lalu boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad 398891608 atas nama Yayasan MRA.

"Sila layari laman sesawang rasmi MRA di www.mra.my atau hubungi Sekretariat MRA di 03-91744672 untuk maklumat lanjut," katanya.


GAMBAR fail, Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman turut serta dengan pasukan perubatan MRA dalam klinik bergerak pascabanjir di Pulau Pinang pada 13 November lalu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment