Kerajaan jamin tiada SJKC akan ditutup - TPM

Friday, December 29, 2017

Kerajaan jamin tiada SJKC akan ditutup - TPM

Kerajaan jamin tiada SJKC akan ditutup - TPM

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kerajaan tidak akan menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) walaupun ada yang berada dalam kategori Sekolah Kurang Murid (SKM).

Timbalan Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Pusat bukan saja memastikan semua 1,298 SJKC terus beroperasi malah meluluskan pembinaan 10 lagi sekolah jenis berkenaan tahun ini.

"Ini adalah bukti jelas bahawa kita tidak pernah mengenepikan SJKC meskipun pembangkang terus menabur fitnah kononnya SJKC akan dihapuskan.

"Malah, terdapat 464 SJKC berada dalam kategori SKM iaitu mempunyai 150 murid atau kurang, itupun kerajaan tidak tutup tetapi terus beri peruntukan dan mengiktiraf Lembaga Pengelola sekolah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong San, Bagan Sungai Burung di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata kerajaan memberi mesej yang lantang dan jelas mengenai perkara itu agar golongan pendidik di sekolah terbabit dapat terus memberi tumpuan mendidik tanpa terpengaruh dengan sebarang khabar angin mengenai kedudukan SJKC.

Beliau berkata, perkara berkaitan pendidikan amat penting untuk memastikan kemajuan negara dan memahami kehendak masyarakat Cina berkaitan pendidikan anak mereka dalam bahasa ibunda.

Ahmad Zahid berkata, dasar pendidikan negara sebelum ini menyatakan tiada penambahan SJKC tetapi dibenarkan melakukan penambahbaikan terhadap sekolah sedia.

Bagaimanapun, katanya, di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukan saja sekolah sedia ada ditambah baik, 10 sekolah baharu sudah diluluskan.

Bercakap pada sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid berkata komitmen Perdana Menteri cukup jelas kerana ia bukan sekadar aku janji politik tetapi memastikan ia dilaksanakan.

"Walaupun penambahan ini (10 SJKC baharu) tidak digemari oleh mereka yang mahu mempertikai pelaksanaannya, tetapi soal pendidikan dan keharmonian kaum harus dihormati," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment