Berpuluh-puluh kali rumah banjir

Saturday, December 2, 2017

Berpuluh-puluh kali rumah banjir

Berpuluh-puluh kali rumah banjir

GUA MUSANG: Nenek berusia 95 tahun sudah menghadapi banjir di rumahnya hampir 40 kali.

Mariam Yusoff dari Kampung Limau Kasturi, di sini, berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10 kali bah besar termasuk pada 2014.

Beliau yang tinggal di kampung itu sejak 50 tahun lalu berkata, banjir besar 2014 lalu menyebabkan rumah kayu dibina arwah suaminya musnah akibat dihanyutkan arus deras.

Dia kini tinggal di rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina kerajaan tahun lalu.

"Pembinaan rumah itu ditapak yang sama menyebabkan ia terdedah dengan kejadian banjir setiap kali musim tengkujuh.

"Nenek tinggal seorang saja dan apabila nampak air Sungai Galas belakang rumah naik, nenek berpindah dengan membawa beg pakaian.

"Kejadian banjir ini seolah-olah sudah sebati dalam hidup menyebabkan nenek sentiasa bersedia untuk berpindah," katanya.

Mariam berkata, banjir sejak kelmarin menyebabkan rumahnya tenggelam lebih dua meter dan beliau sebelum berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2.

Dia yang mempunyai lima anak dan lebih 10 cicit tidak bimbang setiap kali banjir kerana rumahnya tidak ada perabut.

"Nenek dah tak mampu membeli peralatan rumah kerana tinggal seorang diri, tetapi seorang anak tinggal berjiran manakala empat lagi tinggal di luar Kelantan," katanya.

Dia mengakui tidak mampu membersih rumah yang masih dipenuhi lumpur selepas banjir surut awal pagi tadi, sebaliknya menunggu bantuan badan sukarela.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment