Dormitori IJN-TNB mudahkan waris

Saturday, December 2, 2017

Dormitori IJN-TNB mudahkan waris

Dormitori IJN-TNB mudahkan waris

KUALA LUMPUR - Selain bantuan anggota perubatan, kebanyakan pesakit jantung memerlukan bantuan daripada ahli keluarga sebagai sokongan terhadap mereka untuk menjalani rawatan jantung.

Berdasarkan maklumat daripada laman sesawang Pusat Kesihatan Ekuiti John Hopkins, sokongan moral ahli keluarga terhadap pesakit amat penting dan memainkan peranan besar.

Ini kerana, berdasarkan kajian dilakukan Universiti Selatan Carolina, Amerika Syarikat (AS) menunjukkan, sekiranya seseorang pesakit tidak mendapat sokongan moral daripada keluarga, peratus kemungkinan pesakit itu akan mati disebabkan penyakit yang dihadapinya adalah 50 peratus.

Melihat kepada pelbagai aspek, Institut Jantung Negara (IJN), pusat pakar jantung Malaysia telah mengambil inisiatif membina dormitori pada 2009 di bawah kendalian Yayasan IJN.

Dari tempoh 2009 sehingga 2014, beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta telah bergabung tenaga membiayai kos penyelenggaraan bangunan kediaman itu, namun dari 2015 sehingga tahun lalu, Yayasan IJN telah membiayai sendiri kos operasi dormitori berkenaan.

Bagaimanapun, kini yayasan berkenaan boleh menarik nafas lega apabila syarikat utiliti, Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju menaja dormitori tersebut, bermula tahun ini selama lima tahun.

Dengan penajaan itu, dormitori berkenaan telah diberi nafas baharu dengan dinamakan Better Brighter Dormitori IJN Foundation- Tenaga Nasional.

Dormitori dinaik taraf

Banyak perubahan yang telah dilakukan TNB sejak menaja dormitori tersebut, dengan sumbangan diberikan berjumlah RM1,386,192 sehingga 2021, iaitu kos menaik taraf dormitori sebanyak RM386,192 manakala kos operasi pula berjumlah RM1 juta.

Jika dahulu, ruangan berkenaan hanya mempunyai empat bilik, dengan ruangnya terbuka dan kanak-kanak tidak dibenarkan menginap, yang mungkin boleh menimbulkan kerisauan terhadap segelintir pasangan terpaksa meninggalkan anak kecil mereka di rumah atau dijaga orang lain.

Namun, Better Brighter Dormitori IJN Foundation- Tenaga Nasional telah memberi kelegaan kepada ibu bapa apabila kanak-kanak dibenarkan tinggal di dormitori berkenaan, dengan syarat pasangan tersebut perlu menyewa bilik keluarga.

Terdapat empat bilik keluarga disediakan dan selesa diduduki keluarga pesakit dalam bilik bersaiz sederhana.

Selain bilik keluarga, dua bilik untuk lelaki dan wanita turut disediakan.

Lebih menggembirakan, dormitori itu mampu menampung 56 keluarga pesakit dalam satu-satu masa berbanding 25 orang sebelum ‘Better Brighter Dormitori IJN Foundation- Tenaga Nasional’ dinaik taraf.  

Dahulunya, keluarga pesakit perlu mencari dobi luar untuk membasuh pakaian sekiranya terpaksa tinggal lama di IJN, tetapi kini mereka tidak perlu berbuat demikian kerana dormitori itu menyediakan sebuah mesin pencuci pakaian dan mesin pengering pakaian.

Dengan semua kemudahan itu, termasuk ruangan tamu yang mempunyai televisyen dan dapur, keluarga pesakit dapat menikmati kemudahan tersebut dengan bayaran serendah RM10 sahaja.

Caj itu mampu dibayar oleh keluarga waris demi mahu melihat ahli keluarga mereka sihat semula.

Bagaimanapun, tidak semua keluarga pesakit yang dibenarkan menginap di dormitori tersebut kerana pihak yayasan hanya membenarkan keluarga pesakit yang tinggal di luar Lembah Klang sahaja menginap.

Jika ada keluarga pesakit yang mahu menginap di Better Brighter Dormitori IJN Foundation- Tenaga Nasional tetapi tidak berkemampuan membayar caj penginapan, mereka tidak perlu risau kerana mereka boleh membuat permohonan kepada pihak yayasan supaya pihak berkenaan dapat menaja penginapan mereka.

Penting pesakit dekat dengan keluarga

Sementara itu, doktor pakar jantung, Dr Beni Isman Rusaini berkata, terdapat pesakit yang memerlukan rawatan di IJN sehingga beberapa minggu lamanya dan sudah pasti ahli keluarga perlu bersamanya dalam tempoh tersebut.

Justeru katanya, melihat dari segi itu, IJN berasakan pentingnya membina sebuah penempatan sementara untuk keluarga pesakit.

“Semua individu memerlukan ahli keluarga dan rakan bagi meneruskan kehidupan mereka. Begitu juga dengan pesakit yang lebih memerlukan sokongan moral daripada keluarga mereka.

“Apabila ahli keluarga dekat dengan mereka untuk beri sokongan moral, dari segi psikologinya pesakit mungkin dapat sembuh dengan lebih cepat,” katanya.

Pekerja dormitori melayan tetamu yang mahu menginap. - Foto Sinar Harian oleh ASRIL ASWANDI SHUKOR

Ditanya mengenai pandangannya terhadap Better Brighter Dormitori IJN Foundation- Tenaga Nasional, Beni Isman berkata, beliau sangat berpuas hati dengan kemudahan disediakan di dormitori berkenaan.

Menurutnya, segala kemudahan di dormitori tersebut dapat menaikkan mood dan semangat keluarga pesakit kerana ada antara mereka perlu tinggal lama di IJN untuk menjaga pesakit.

“Mereka boleh berbual dengan ahli keluarga pesakit lain sekiranya mereka bosan. Ini boleh menaikkan mood mereka semula,” katanya.

Syukur ada dormitori

Seorang ahli keluarga pesakit, Adita Mat Husin, 40, berkata, dia bersyukur apabila staf IJN menyatakan ada dormitori di dalam IJN untuk keluarga pesakit menginap kerana dia  baru sahaja tiba dari Britain.

Adita yang tinggal di Britain sejak 15 tahun lalu, segera pulang ke Malaysia, Khamis lalu apabila mendapat berita ibunya mengalami serangan jantung pada Selasa.

"Saya amat bersyukur kerana dapat menginap di Better Brighter Dormitori IJN Foundation- Tenaga Nasional kerana saya tak ada kenderaan sendiri di Kuala Lumpur.

“Sekiranya doktor minta saya untuk ke wad emak pada waktu malam, saya boleh ke sana secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Azizah Hussin dari Bukit Katil, Melaka, pula berkata, dia rasa amat selamat tinggal di dormitori berkenaan kerana dia datang ke IJN seorang diri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment