Azharina bakal lancar album baru

Saturday, December 2, 2017

Azharina bakal lancar album baru

Azharina bakal lancar album baru

TIADA siapa sangka, survival seni penyanyi berasal dari Sabah, Azharina kian menampakkan sinar, selepas menjuarai program realiti, Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

Jika sebelum ini ada generasi baru kurang mengenalinya sebagai seorang penyanyi yang memiliki vokal tersendiri, namun kini semuanya berubah.

Sana-sini memuji dan tidak kurang menanti album solo penuh daripada penyanyi berusia 32 tahun ini.

Masakan tidak, kali terakhir pemilik nama lengkap Azharina Azhar ini hadir dengan sebuah album penuh adalah pada 2008 menerusi album Rawan.

Selepas itu beberapa single diketengahkan penghibur berkenaan, namun ia kurang menyengat seperti mana yang diharapkan.

Lalu peluang menyertai GV3 tahun lalu menjadi platform paling ampuh buat Azharina untuk kembali menyerlah sekali gus membuktikan kualiti serta kredibilitinya di dalam menyampaikan lagu secara langsung masih berbisa.

Bagaimanapun, akui Azharina, tiket sebagai sang juara bukanlah menjadi kayu pengukur buatnya secara menyeluruh apabila merancang mahu melancarkan sebuah album solo. Sebaliknya, dia perlu tahu apakah yang dimahukan peminat, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan soal kepuasan sendiri dalam nyanyian.

Album baru hadiah buat peminat

Bekas juara Bintang RTM 2001 ini mengambil inisiatif dengan menjemput pihak media terpilih bagi mendengar sendiri seleksi lima lagu yang sudah dirakam terlebih dahulu sebelum dilancarkan.

Katanya, dia bersama pihak pengurusan mengambil keputusan meminta pendapat wartawan hiburan mengenai sejauh mana keyakinan mereka terhadap lima lagu itu dan lagu yang paling sesuai untuk dijadikan single pertama di dalam album itu nanti.

“Saya terharu dan terima kasih buat rakan media atas sokongan dan sanggup hadir untuk sesi pra dengar lagu-lagu yang bakal dimuatkan di dalam album terbaru saya. Insya-ALLAH, kalau ikutkan perancangan, album yang masih tiada tajuk ini akan dilancarkan pada awal tahun depan. Mungkin Januari atau Februari.

“Jadi besar harapan saya untuk melihat album ini mampu memberi kepuasan maksimum buat peminat, lebih-lebih lagi buat mereka yang mengikuti perkembangan seni saya sejak awal sehinggalah sekarang,” katanya sejurus selesai sesi pra dengar berkenaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut sama berada ada sesi pra dengar tersebut ialah komposer, Julfekar. Sementara itu, komposer terkenal itu turut memberi bayangan bahawa mungkin akan ada lagu yang akan ditambah sekiranya lagu berkenaan mencapai standard diinginkan Azharina.

Kisah di sebalik Cinta Terbahagi Dua

Menerusi lima lagi diperdengarkan, setakat ini media dan pihak pengurusannya bersetuju memilih lagu di trek pertama album tersebut, Cinta Terbahagi Dua sebagai single pertama.

Menariknya, selain menjadi lagu pertama rakan media, Azharina juga sejujurnya meletakkan lagu itu sebagai lagu  paling disukai dan dekat dengan diri kerana menonjolkan sisi vokal yang lebih matang dan muziknya juga cukup menyentuh hati.

Baginya, muzik di dalam lagu berkenaan mengindahkan lagi vokalnya untuk Cinta Terbahagi Dua. Ikutkan Uncle Jul (Julfekar), lagu itu mengisahkan cinta yang berbelah bahagi di antara dua individu.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah ada pengalaman bercinta dengan dua lelaki pada satu masa. Jadi Uncle Jul minta saya terjemahkannya kepada cinta pada seni dan kehidupan peribadi. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Berjaya juga serapkan emosi di dalam lagu tersebut. Harapnya ia sampai di hati pendengar nanti,” akui Azharina yang hanya mengambil masa sekitar 30 minit untuk menyiapkan sesi rakaman untuk lagu berkenaan.

Kongsinya lagi, pada awalnya Julfekar hanya berikan secara asas sahaja untuk lagu tersebut. Jadi dia perlu lenggokan liriknya mengikut cara sendiri.

“Mujurlah selepas hanya dengarkan beberapa jam sebelum rakaman berlangsung, lagu tersebut dapat dirakam sebaiknya,” katanya yang turut menjadikan lagu Tetapkan Abadi sebagai antara lagi yang paling digemarinya di dalam barisan lima lagu yang dimuatkan.

Kerjasama penuh bermakna

Menyifatkan bertuah kerana mendapat bimbingan daripada antara komposer disegani, Azharina juga mengakui kerjasama untuk melancarkan album barunya bersama Julfekar sebagai suatu projek yang cukup memberi makna.

“Saya mengenalinya sejak berusia 15 tahun lagi. Selepas itu, saya menyertai Bintang RTM dan masih lagi berada di bawah bimbingan dan tunjuk ajar Uncle Jul. Rasa bertuah kerana saya bertemu dengan individu yang tepat, yang tahu apa yang saya mahu dan sedia membuka ruang buat saya untuk berkarya di dalam lagu,” luah penyanyi yang begitu sinonim dengan lagu seperti Elegi Sepi dan Seandainya.

Mengharapkan album baru ini akan membuahkan hasil seperti diharapkan, penyanyi yang baru sahaja menerima anak angkat ketiga, Redha Azharin Azhar turut berdoa album ini diterima baik peminat seni.

“Saya harap sangat album ini dapat beri kepuasan kepada semua sementelah saya sendiri agak lama sunyi daripada muncul dengan album baru. Percayalah, perbezaannya cukup ketara berbanding lagu-lagu terdahulu khasnya dari segi vokal, muzik dan susunan lagu seiring kematangan saya dalam industri,” akhiri Azharina.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment