Remaja hilang ditemui selamat
TEMERLOH: Pelajar perempuan yang dipercayai dilarikan seorang lelaki menyamar polis dari rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, dekat sini, petang kelmarin, ditemui selamat pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata Nur Syaminn Nabila Mohd Sapawi, 16, ditemui berseorangan di stesen bas di bandar ini jam 11.05 pagi.
"Soal siasat awal mendapati mangsa menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Raub dan anggota kami mengambilnya di stesen bas berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Raub untuk pemeriksaan lanjut.
"Kita masih meneruskan siasatan bagi mengesan suspek yang dikatakan melarikan mangsa petang kelmarin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya sedang mengesan suspek berdasarkan gambaran diberikan keluarga mangsa iaitu seorang lelaki berbadan kurus, kulit sawa matang, rambut pendek lurus, bermisai nipis dan berusia awal 30-an.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang serta menyamar sebagai penjawat awam.
Dalam kejadian petang kelmarin, Nur Syaminn Nabila dilarikan seorang lelaki mendakwa anggota polis bernama Faiz dan bertugas di Balai Polis Sungai Ruan, Raub.
Ibu mangsa, Wan Maziah Wan Mat, 37, berkata sebelum kejadian, Nur Syaminn Nabila keluar membeli buku sekolah untuk adiknya dan membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada anaknya memaklumkan dia berada di Gua Musang, Kelantan bersama lelaki berkenaan kira-kira jam 3 petang kelmarin.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment