Mohon pembantu rumah asing hanya lapan hari

Friday, December 29, 2017

Mohon pembantu rumah asing hanya lapan hari

Mohon pembantu rumah asing hanya lapan hari

PUTRAJAYA: Bermula 1 Januari ini, proses penggajian pembantu rumah asing (PRA) hanya mengambil masa secepat lapan hari, menerusi Sistem Maid Online (SMO) yang diperkenalkan Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata prosedur itu membabitkan permohonan oleh majikan dibuat melalui laman sesawang SMO, termasuk keputusan saringan kesihatan PRA yang dijangka mengambil masa tiga hingga lima hari, manakala proses oleh Jabatan Imigresen mengambil masa maksimum lima hari.

Beliau menjelaskan, melalui SMO, permohonan PRA menjadi lebih cepat, tepat dan jimat kerana boleh dilakukan dalam masa singkat jika tiada sebarang masalah pada peringkat permohonan oleh majikan, berbanding mengambil masa berbulan, malah bertahun sebelum ini.

"Ia juga lebih tepat kerana majikan akan memasukkan sendiri maklumat dan perincian peribadi dan PRA yang mahu digaji berbanding oleh ejen sebelum ini, selain kos yang lebih murah iaitu RM1,635 berbanding RM12,000 hingga RM18,000 sebelum ini," katanya pada sidang media khas Permohonan PRA Secara Dalam Talian di sini, hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2018 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan majikan boleh memohon PRA secara terus dalam talian bermula 1 Januari 2018.

Mustafar berkata, majikan boleh menggaji PRA yang berada di Malaysia, dengan syarat dia tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang aktif dengan majikan lain.

Selain itu, katanya, majikan juga boleh memohon menggaji PRA yang sudah tinggal lebih masa di negara ini iaitu bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2017 atas Pas Lawatan Sosial.

"Bagaimanapun, tempoh permohonan bagi bakal PRA yang tinggal lebih masa ini hanya akan dibuka untuk tempoh enam bulan saja iaitu dari 1 Januari hingga 30 Jun 2018.

"Majikan perlu mendaftar dalam sistem terlebih dahulu dan akan dirujuk ke Bahagian Penguatkuasa untuk tindakan kompaun dan maksimum kompaun yang dikenakan adalah RM900," katanya.

Bagi majikan yang berhasrat mengambil PRA terus dari negara sumber, Mustafar berkata majikan tertakluk kepada syarat, prosedur dan kos yang dikenakan negara berkenaan.

Katanya, sebaik sahaja permohonan penggajian PRA lulus dan majikan sudah membuat pembayaran, majikan perlu hadir ke Jabatan Imigresen bersama PRA mereka bagi pengambilan data biometrik, dan pihak Imigresen seterusnya akan mengeluarkan PLKS dan i-kad (kad identiti pekerja asing mengikut sektor) kepada PRA.

Untuk mengetahui syarat kelayakan dan maklumat lanjut, majikan boleh melayari laman sesawang maid-online.imi.gov.my.

INFO

Prosedur pengambilan PRA secara dalam talian melalui SMO:

1. Daftar masuk

2. Login masuk, daftar majikan dan maklumat PRA

3. Muat naik keputusan FOMEMA

(Langkah 1 hingga 3 - dilakukan majikan)

4. Muat naik dokumen dan hantar permohonan

5. Semakan dokumen

6. Kelulusan

7. Notifikasi keputusan

8. Bayaran secara dalam talian

9. Cetakan PLKS

(Langkah 4 hingga sembilan oleh Jabatan Imigresen)



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment