Kerajaan sumbang bantuan makanan kepada mangsa banjir

Saturday, December 2, 2017

Kerajaan sumbang bantuan makanan kepada mangsa banjir

Kerajaan sumbang bantuan makanan kepada mangsa banjir

RANTAU PANJANG: Kerajaan Persekutuan menyediakan bantuan makanan kepada 12,451 mangsa banjir membabitkan 4,943 keluarga di seluruh Kelantan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata bantuan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Katanya, beliau bertemu Perdana Menteri pada Khamis lalu yang meminta bantuan disegerakan kepada semua mangsa banjir.

"Bakul makanan ini termasuk beras, gula, gandum dan minuman diberikan kepada mangsa bagi meringankan beban mereka.

"Bantuan ini adalah tambahan kepada bantuan sedia ada yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain sebelum ini.

"Selain itu, kita juga akan pergi ke setiap rumah mangsa banjir yang tidak berpindah untuk menyampaikan bantuan sebagai bukti bahawa mereka juga tidak diabaikan," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Yahaya Mamat.

Sementara itu, Mustapa berkata, beliau akan cuba menyegerakan projek tebatan banjir di Kelantan bagi menangani masalah banjir.

"Isu itu (tebatan banjir) sudah lama dan kita sering berdepan masalah banjir setiap tahun, jadi Kerajaan Persekutuan memang merancang untuk mempercepatkan projek itu.

"Selain itu, beberapa kawasan lain turut berdepan masalah banjir yang disebabkan longkang tersumbat atau sesetengahnya tiada longkang langsung," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment