'Pagi berkhatan, petang kena pindah'

Saturday, December 2, 2017

'Pagi berkhatan, petang kena pindah'

'Pagi berkhatan, petang kena pindah'

KUALA NERUS: Empat beradik yang baru berkhatan pagi tadi, terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak, di sini selepas kediaman mereka dinaiki air petang tadi.

Muhammad Nasrullah Darwisy Mohamad Nor Hisyam, 11; Muhammad Nasyran Arif, 9; Muhammad Naim Syakir, 8 dan Muhammad Nazmi Irsyad, 4, yang menyertai acara berkhatan beramai-ramai anjuran Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerus, mendapatkan perlindungan di PPS terbabit selepas diarah berpindah apabila laluan utama ke rumah mereka terputus akibat banjir.

Difahamkan, keempat-empat beradik itu berkhatan pada jam 9 pagi bersama 139 peserta lain sebelum diarah pindah sejurus majlis selesai.

Bapa mereka, Mohamad Nor Hisyam Maat, 32, dari Taman Desa Tanjung Damai, tidak bimbang mengenai tahap keselesaan di PPS namun khuatir jika keempat-empat anaknya kurang selesa dengan keadaan mereka masih sakit akibat berkhatan.


(Dari kiri) Muhammad Nasrullah Darwisy, 11; Muhammad Naim Syakir, 8; Muhammad Nazmi Irsyad, 4; dan Muhammad Nasyran Arif, 9, yang baru berkhatan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus, petang tadi. - Foto Aslina Abu Bakar

Katanya, mereka baru sebulan berpindah dan menetap di kawasan perumahan terbabit.

"Saya tak sangka banjir menyebabkan kenderaan ringan tidak boleh menggunakan laluan ke rumah.

"Sebaik diarah berpindah oleh pasukan penyelamat, saya dan isteri segera membawa anak-anak ke PPS," katanya yang bekerja sebagai peniaga.

Nor Hisyam mengambil peluang cuti sekolah untuk membawa keempat-empat anaknya menyertai program berkhatan.

"Alhamdulillah, pasukan penyelamat memberi bantuan baik kepada kami sekeluarga kerana sebaik tiba, mereka segera mencari barangan keperluan seperti selimut untuk anak saya berehat.

"Apa yang dibimbangkan adalah keselesaan anak memandangkan mereka baru berkhatan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment