Bekas kakitangan Karangkraf meninggal dunia

Friday, December 29, 2017

Bekas kakitangan Karangkraf meninggal dunia

Bekas kakitangan Karangkraf meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Bekas wartawan Kumpulan Media Karangkraf, Ramlee Ar Rahman meninggal dunia akibat kanser paru-paru, petang tadi.

Pengurus Besar Penerbitan, Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin berkata, Allahyarham dikesan menghidap penyakit tersebut sejak dua bulan lalu.

"Allahyarham menghidap kanser paru-paru tahap empat dan keadaannya mulai serius sejak kebelakangan ini.

"Dia seorang yang periang dan kami merupakan kawan lama sejak dia mulai berkhidmat di Karangkraf sejak 1980an lagi," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Sementara itu, Pengurus (Tugas-tugas Khas) Karangkraf, Hashim Anang berkata, pihak Karangkraf sempat menganjurkan solat hajat seusai solat Jumaat hari ini bagi mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya.

"Allahyarham seorang yang suka bergurau dan aktif dalam seni silat.

"Beliau juga seorang juruvideo yang merakamkan pelbagai acara anjuran Karangkraf," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Alumni Karangkraf, Rodly Fadly dalam ucapan takziahnya berkata, beliau sempat melawat Allahyarham di Institut Perubatan Respiratori di Jalan Pahang, di sini, hari ini.

"Saya terima panggilan daripada isterinya untuk datang melawat Allahyarham hari ini kerana beliau sudah nazak.

"Semasa saya ziarah pagi tadi, memang Allahyarham nazak dan tidak mampu bercakap," katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada umur 57 tahun tidak sempat menyambut ulang tahun kelahirannya ke 58 pada 2 Januari depan.

"Penyakit Allahyarham dikesan pada dua bulan lepas, sewaktu itu doktor sahkan kansernya sudah di tahap empat.

"Allahyarham mengalami batuk berpanjangan sejak Julai tahun ini, dan sel kanser dikesan apabila beliau menjalani ujian pemeriksaan," katanya lagi.

Pengurus Grup Buku Karangkraf bahagian Novel, Mohd Ali Mohd Noor sempat berkongsi pengalaman bersahabat dengan Allahyarham.

"Kami berkawan lama, lebih 20 tahun sejak daripada 'zaman' Bacaria lagi.

"Allahyarham sangat baik, tidak lokek dan sanggup turun padang tanpa sekelumit keluhan pun, kami juga pernah menunggang motor bersama menuju ke lokasi tugasan bersama," katanya yang turut sempat menziarah Allahyarham beberapa hari sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya.

Ramlee telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 4.50 petang tadi dan jenazah dibawa pulang ke rumah di Jalan Susur, Kampung Tasik Permai, Ampang, Selangor.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment