Warga PLKN Kem Chador terputus hubungan, diselamatkan
KUALA TERENGGANU: Seramai 160 warga Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih Chador, Marang termasuk 95 pelatih diselamatkan selepas kawasan kem terbabit terputus hubungan berikutan jalan utamanya dinaiki air setinggi satu meter.
Berikutan keadaan itu, pasukan penyelamat terdiri daripada pasukan 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para), Rejimen 512 (AW), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerahkan ke lokasi bagi membantu memindahkan mangsa.
Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Marang turut menghulurkan bantuan bagi mempercepatkan proses mengeluarkan mangsa daripada lokasi terbabit ke kawasan selamat.
Pegawai APM daerah Marang, Kapten (PA) Zabri Abd Razak, berkata pasukan penyelamat tiba di lokasi kira-kira jam 9.30 pagi bersama trak dan lori bagi membantu memindahkan mangsa berikutan kenderaan ringan tidak boleh melalui kawasan terbabit.
Katanya, mangsa dipindahkan ke lokasi selamat sebelum diambil ibu bapa masing-masing untuk dibawa pulang berikutan hari ini adalah hari terakhir latihan di kem terbabit.
"Kawasan ini terputus hubungan dengan jalan utama berikutan dinaiki air setinggi lebih kurang satu meter menyebabkan semua mangsa tidak dapat keluar daripada kem sedangkan hari ini adalah hari terakhir mereka di sana.
"Bagaimanapun, kerjasama daripada pelbagai pihak untuk memindahkan mangsa berjalan lancar dan semua pelatih dan warga kem terbabit berjaya dikeluarkan pada jam 12 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment