Mohon bantuan aset negeri lain
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan dipohon dari negeri berhampiran jika berlaku kekurangan anggota dan kelengkapan logistik bagi menghadapi banjir yang semakin buruk.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid, berkata ia bertujuan memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir berjalan lancar.
Beliau berkata, JBPM di Perak, Negeri Sembilan dan Pahang mungkin diminta menghantar bantuan seperti anggota, lori pengangkut serta bot penyelamat secepat mungkin.
"Kelantan mungkin memerlukan 20 hingga 30 lori untuk mengangkut mangsa banjir di sekitar daerah.
"Kita mengambil kira pengalaman banjir 2014 dengan menyediakan penempatan strategik, selain kelengkapan peralatan di beberapa balai di Tanah Merah dan Kuala Krai yang dinaiki air dalam bencana besar itu.
"Lebih ramai anggota, bot dan lori ditempatkan di Kuala Krai dan Dabong untuk menjalankan operasi segera tanpa menunggu bantuan luar jika banjir berlaku secara mendadak di kawasan itu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat JBPM Kelantan, hari ini.
Soiman berkata, JBPM menetapkan masa 10 minit atau kurang untuk bertindak balas terhadap sebarang maklumat kecemasan berkaitan mangsa banjir.
Pihaknya yakin Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah membuat penyelarasan semua agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani bencana banjir di Kelantan.
"Kita mohon penduduk memberi kerjasama kepada agensi penyelamat jika amaran dikeluarkan untuk berpindah.
"Jangan apabila paras air sudah tinggi, baru kita dihubungi kerana hujan lebat dan arus deras menyukarkan penyelamat tiba ke tempat mangsa, sekali gus melambatkan proses dan membahayakan nyawa mereka," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment