Mangsa di Kelantan cecah 12,734 orang malam ini

Wednesday, November 29, 2017

Mangsa di Kelantan cecah 12,734 orang malam ini

Mangsa di Kelantan cecah 12,734 orang malam ini

KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan mencecah 12,734 orang setakat 9 malam ini berbanding 11,341 pada 5 petang tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 101 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan Pasir Mas mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 8,004 orang daripada 3,317 keluarga yang dipindahkan ke 44 PPS, diikuti Kota Bharu dengan 1,440 mangsa daripada 374 keluarga yang dipindahkan ke 13 PPS.

Sebanyak lapan PPS dibuka di Pasir Puteh membabitkan 819 mangsa daripada 244 keluarga manakala 777 mangsa daripada 230 keluarga ditempatkan di 16 PPS di Tanah Merah serta 684 mangsa daripada 219 keluarga ditempatkan di empat PPS di Tumpat.

Di Machang pula, seramai 375 mangsa daripada 112 keluarga dipindahkan ke lapan PPS, 313 mangsa daripada 74 keluarga ditempatkan di dua PPS di Bachok, 282 mangsa daripada 74 keluarga menghuni enam PPS di Kuala Krai dan 40 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan ke satu PPS di Jeli.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas menurun kepada 10.55 meter pada 9 malam ini berbanding 10.66  meter pada 5 petang tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula meningkat kepada 3.47 meter berbanding 3.42 meter pada tempoh sama (bahaya 2.50 meter).

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan hingga malam ini manakala hujan dilaporkan semakin reda di beberapa kawasan di negeri ini. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment