'Tak sangka banjir seteruk ini..'
PANTAI REMIS: "Kami tak sangka pula banjir teruk kali ini dan kasihan anak saudara yang pulang ke kampung sempena cuti sekolah terpaksa meredah banjir," kata Faizal Mohd Radzi, penduduk Kampung Semangat, Segari, dekat sini.
Faizal, 32, antara 532 mangsa banjir daripada 115 keluarga di daerah Manjung yang dipindahkan ke empat pusat pemindahan di Lumut dan di sini berikutan beberapa kawasan dinaiki air lebih 0.3 meter, setakat jam 12 tengah hari, hari ini.
Empat pusat pemindahan dibuka, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu dan Sekolah Agama Rakyat Kampung Tebuk Yan, di Pantai Remis, SK Dato Ishak di Lumut dan Dewan BNBBC Batu 4, Segari.
Antara kampung terbabit adalah Kampung Padang Tembak di Lumut; Kampung Semangat, Batu 3, Batu 4 dan Batu 5 di Segari; Kampung Parit Marikan, Kampung Pantai Tin, Kampung Tebuk Yan dan Taman Pantai Wang di Pantai Remis.
Faizal berkata, banjir kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini dan air mula naik jam 10 malam tadi.
"Sebaik air sudah mula naik, saya dan ahli keluarga lain segera mengemas barang dan simpan di tempat selamat sebelum berpindah.
"Ketika itu air sudah mencecah paras dada di luar rumah manakala bahagian dalam paras lutut sahaja. Saya terpaksa mendukung anak saudara untuk mengharungi banjir kerana bimbangkan keselamatannya berikutan paras air agak tinggi ketika itu ," katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai BNBBC Batu 4, Segari, hari ini.
Katanya, sebelum ini air hanya naik di kawasan halaman rumah sahaja dan menganggap banjir kali ini adalah terburuk.
Seorang penduduk, Muhamad Khairul Azmi, 21, berkata dia terpaksa pulang membantu keluarganya selepas mengetahui air sudah mula memasuki rumahnya.
Katanya, keadaan lebih buruk apabila air bukit yang turun disusuli hujan lebat berterusan menyebabkan kawasan dan bahagian dalam rumahnya dipenuhi air dan lumpur.
"Ketika itu, saya sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah berhampiran namun memikirkan keadaan keluarga terutama ibu bapa, saya pulang sekejap membantu mereka di rumah," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sempat meluangkan masa melawat beberapa pusat pemindahan untuk bertemu mangsa banjir di daerah ini.
Zambry berkata, keadaan cuaca ketika ini yang kurang baik dengan hujan lebat sejak semalam dan air pasang besar menyebabkan banjir berlaku, malah ada beberapa kawasan sebelum ini tidak dinaiki air turut terjejas.
"Kita sudah melakukan persiapan awal dan penduduk sudah dipindahkan dengan jabatan terbabit juga membuat pemantauan.
"Fenomena air pasang besar yang disusuli hujan berterusan menyebabkan banjir berlaku dan sehingga kini masih hujan, namun sentiasa dalam keadaan siap siaga," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di Kampung Sungai Batu, Pantai Remis.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment