Betulkan persepsi masyarakat terhadap umat Islam
SEREMBAN - Umat Islam perlu berbalik semula kepada ajaran agama sebenarnya supaya persepsi dan tanggapan negatif masyarakat terhadap Islam dapat diubah, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata umat Islam perlu mempersiapkan diri mereka dengan akhlak yang terpuji, diikuti dengan melakukan ibadah dan mempunyai akidah yang mantap kerana ini adalah contoh yang terbaik untuk menunjukkan jalan Islam itu sendiri.
"Maka dengan sambutan Maulidur Rasul ini seharusnya orang Islam sendiri bertanggungjawab untuk membetulkan imej agama Islam yang sering dikaitkan dengan pembunuhan dan keganasan.
"Penekanan juga harus diberikan kepada generasi muda supaya mempersiapkan diri dengan nilai-nilai Islam selari dengan arus pemodenan negara agar mereka tidak ketinggalan dalam hal keagamaan," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Negeri di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Datuk Selamat Paigo.
Mohamad berkata Islam merupakan kerajaan yang hebat suatu ketika dahulu dan disegani oleh pemikir-pemikir barat, dan seharusnya penganut agama Islam berusaha mengembalikan l semula kegemilangan ini.
Sementara itu, dalam majlis tersebut Mohamad turut menyampaikan Anugerah Khas Pelajar Cemerlang kepada enam orang pelajar yang mendapat pangkat mumtaz dalam pengajian sarjana muda, diploma tahfiz dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Kesemua mereka menerima cek sejumlah RM2,000 bagi kategori ijazah sarjana muda, RM1,500 diploma tahfiz dan RM1,000 kepada pelajar STAM dan kesemua mereka membawa pulang piala iringan serta sijil.
Kira-kira 2,000 tetamu hadir di majlis tersebut dan turut diadakan ceramah bertajuk 'Kesatuan Ummah, Kesejahteraan Negara' yang disampaikan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Tampin Mahyudin Aziz. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment