IMCTC: Bantu kekang idealogi pengganas

Thursday, November 30, 2017

IMCTC: Bantu kekang idealogi pengganas

IMCTC: Bantu kekang idealogi pengganas

KUALA LUMPUR - Hubungan rapat Malaysia dan kuasa besar asing melalui Pakatan Ketenteraan Islam Memerangi Keganasan (IMCTC) adalah perlu bagi memastikan ancaman dan ideologi keganasan dapat dikekang daripada bertapak di rantau ASEAN, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

Menteri Pertahanan berkata, walaupun kebanyakan kubu kuat pengganas Daesh di Timur Tengah, terutama sekali di Libya berjaya ditawan, ancaman sebenar ialah untuk  mengekang ideologi ekstremisme keganasan yang ditanam dalam minda pengikut-pengikut mereka, terutama sekali yang berada di rantau ini.

“Perkara ini bukan sesuatu yang patut kita ambil mudah kerana saya, Datuk Zahid (Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)  dan Perdana Menteri sendiri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menerima maklumat (pergerakan pengganas) itu, bukan sahaja daripada agensi perisikan kita tetapi juga sumber antarabangsa  yang memantau pergerakan mereka ini.

“Sebab itu, kita harap hubungan yang kita wujudkan dengan kuasa besar melalui IMCTC dapat membantu membekalkan kita maklumat terkini mengenai ancaman mereka  dan juga demi memastikan kedaulatan negara ini dapat kita pertahankan,” katanya kepada sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas, berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perjumpaan beliau dengan 41 rakan sejawatan di bawah IMCTC pada  persidangan kali pertama pakatan itu di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

Pada pertemuan itu, Hishammuddin berkata, beliau telah mengambil kesempatan untuk menerangkan langkah-langkah keselamatan yang diambil pihak berkuasa di ASEAN demi mengekang kemaraan militan  termasuk kerjasama Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi melakukan kawalan darat, laut dan udara di Laut Sulu dan Sulawesi.

Katanya beliau turut meminta rakan sejawatan dari Syria, Iraq, dan Yaman  berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai kemaraan pengganas sebelum ini bagi membantu ASEAN mengekang penularan ideologi tersebut di rantau ini.

“Saya risau mereka (pengganas) nak cuba bertapak di kawasan kita. Sebab itu apa yang kita lakukan di ASEAN, kawalan trilateral dengan Indonesia dan Filipina, mereka agak kagum,” katanya menambah penubuhan Pusat Keamanan Raja Salman di negara ini adalah sebahagian usaha memerangi penyebaran ideologi keganasan.

"Putera Mahkota Arab Saudi (yang juga Menteri Pertahanan Putera Mohammad Salman) turut setuju kita wujudkan pusat itu di rantau kita. Itu satu lagi pendekatan yang kita ambil untuk berdepan dengan pengganas Daesh  kerana melalui ketenteraan sahaja tak cukup,” katanya.

Hishammuddin berkata walaupun usaha itu sukar, peluang adalah lebih baik jika Malaysia bekerjasama rapat dengan 41 negara berbanding melakukannya secara bersendirian. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment