Jong-nam simpan penawar racun dalam beg galas

Wednesday, November 29, 2017

Jong-nam simpan penawar racun dalam beg galas

Jong-nam simpan penawar racun dalam beg galas

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, membawa 12 botol berisi penawar racun dalam beg galasnya ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), 13 Februari lalu.

Botol kaca itu yang diisi dengan 'Atropina', sejenis penawar racun termasuk VX dan racun serangga perosak itu, diambil oleh pihak polis dari beg galas Kim Chol.

Ketua Unit Alkohol dan Toksikologi Klinikal, Jabatan Kimia, Dr K.Sharmilah 38, yang bersetuju dengan cadangan peguam Gooi Soon Seng, yang mewakili tertuduh pertama Siti Aisyah, mengenai perkara itu berkata botol mengandungi 'Atropina' bersama tujuh lagi eksibit lain diterimanya daripada pihak polis pada 10 Mac 2017 untuk ujian toksikologi.

Kepada soalan Gooi, saksi pendakwaan ke 23 itu berkata beliau bagaimanapun tidak mengetahui sama ada botol itu dilabel dalam  bahasa Korea.

Beliau memberi keterangan pada hari ke-22 perbicaraan kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa  bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan klia2 pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Dr Sharmilah,  yang bertugas di Seksyen Toksikologi Bahagian Forensik Jabatan Kimia, turut bersetuju dengan cadangan Gooi bahawa racun serangga perosak juga boleh menyebabkan kematian dan memberikan simptom yang sama seperti orang yang diracun dengan agen saraf VX.

"Bagaimanapun, penggunaan racun serangga perosak untuk membunuh seseorang memerlukan kadar kepekatan yang berbeza dengan VX," katanya.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dr Sharmilah berkata, sebanyak 10 miligram (mg) VX  diperlukan untuk membunuh seseorang melalui penyerapan kulit.

Katanya, jika dibandingkan dengan 'phorate' iaitu jenis racun serangga yang paling toksik dalam kumpulan ‘organophosphate’, seseorang itu memerlukan sebanyak 72,000mg phorate untuk menyebabkan kematian melalui penyerapan kulit.

Mengenai analisis yang dibuat terhadap spesimen darah Kim Chol, Dr Sharmilah berkata darah mangsa mengandungi campuran ubat merawat  penyakit gout, tekanan darah tinggi, kencing manis dan ubat tahan sakit.

"Kesemua dos ubat yang dikesan dalam darah Kim Chol adalah tidak memudaratkan kesihatan mangsa," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, ASP Nasrol Sain Hamzah, 38,  berkata usaha polis untuk menjejak tiga lagi suspek kes bunuh Kim Chol gagal selepas mereka didapati sudah meninggalkan hotel penginapan ketika diserbu.

"Pencarian ketiga-tiga mereka dilakukan di Hotel Concorde Kuala Lumpur selepas mendapat maklumat daripada tertuduh kedua, Doan Thi Huong," kata saksi ke-24 itu.

Beliau berkata, Doan menunjukkan sendiri bilik hotel di Sky Star Hotel di Sepang, tenmpat dia (Doan) menginap,  dan menyerahkan baju T dengan tulisan ‘LoL’ yang dipakainya pada 13 Februari lalu iaitu pada hari sama Kim Chol diserang dengan racun VX.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment