Ibu menangis bawa bayi redah banjir dalam hujan

Thursday, November 30, 2017

Ibu menangis bawa bayi redah banjir dalam hujan

Ibu menangis bawa bayi redah banjir dalam hujan

RANTAU PANJANG: Seorang ibu muda menangis apabila terpaksa membawa bayi berusia lima hari meredah banjir menaiki perahu dalam hujan pada waktu malam selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Banggol Ubi Keling, di sini.

Mangsa, Che Suriani Che Azhar, 17, berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok tiga hari lalu selepas rumah mereka dinaiki air sehingga mencecah 1.5 meter.

Dia yang baru melahirkan anak sulung, Mohd Aryan Hassan mengambil keputusan itu untuk berpindah segera apabila dinasihatkan bapa mentuanya, Ismail Mohamad, 44, selepas air mula naik mendadak di sekitar rumahnya.

"Saya berpantang di rumah keluarga mentua serta tiada pengalaman menghadapi banjir. Saya tidak menyangka ketika usia berpantang baru beberapa hari, saya terpaksa kuatkan diri untuk menaiki sampan dan membawa bayi ke tempat selamat.

"Pelbagai perasaan menghantui saya ketika itu, terpaksa menaiki sampan dalam air yang mengalir deras sehingga saya hanya mampu menangis ketakutan memikirkan anak yang baru dilahirkan ini.

"Pada malam kejadian saya sudah tidak memikirkan rasa sakit selepas bersalin demi membawa bayi saya ke tempat selamat. Alhamdulillah jiran tetangga juga membantu termasuk menumpangkan saya menaiki pancuan empat roda ke PPS," katanya ketika ditemui, di sini.

Che Suriani mengakui rasa lega selepas berpindah ke PPS walaupun sedikit tidak selesa kerana mula merasa sengal dan sakit di seluruh badan mungkin kerana baru beberapa hari berpantang.

"Suami saya, Mohd Faris Sulaiman, 19, sentiasa menenangkan saya untuk terus bersabar demi anak kami. Walaupun terpaksa menghadapi ujian ini, saya reda dan bersyukur kerana semuanya selamat malah akan mengingati pengalaman ini di sepanjang hidup saya.

"Alhamdulillah, ramai yang membantu saya di PPS lebih-lebih lagi apabila mengetahui bayi saya yang baru berusia beberapa hari. Malah saya ditempatkan di bilik yang tidak ada ramai mangsa demi kesihatan bayi saya.

"Saya berharap agar banjir ini pulih dengan segera supaya dapat berpantang dengan baik selain perlu menguruskan beberapa urusan selepas kelahiran anak saya ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment