UTC janji perkhidmatan kerajaan kepada rakyat

Thursday, November 30, 2017

UTC janji perkhidmatan kerajaan kepada rakyat

UTC janji perkhidmatan kerajaan kepada rakyat

SEREMBAN - Pusat Tansformasi Bandar (UTC) merupakan janji kerajaan untuk membawa perkhidmatan awam terus kepada rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kini banyak agensi dan kementerian telah mula keluar dari zon selesa masing-masing untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"UTC ini adalah cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang nak tengok proses transformasi kerajaan dilakukan.

Beliau juga nak melihat kerajaan dan penjawat awam memberikan perkhidmatan yang mesra rakyat," katanya semasa berucap pada majlis perasmian UTC pertama Negeri Sembilan di Ampangan, di sini, hari ini.

Selain Najib, turut hadir ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaludin Said.

Perasmian UTC Negeri Sembilan disempurnakan perdana menteri dan disaksikan kira-kira 10,000 hadirin.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata UTC di Ampangan yang memulakan operasinya pada 20 Nov lepas telah mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

"Saya lihat sejak dibuka, penuh dengan orang ramai," katanya.

UTC Negeri Sembilan merupakan UTC yang ke-20 dibina dan menelan belanja RM34.26 juta serta mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan menggunakan bangunan Angsana milik Uda Holdings Berhad.

Selain Kementerian Sumber Manusia, jabatan dan agensi lain yang menempatkan cawangan di UTC itu ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia-Y Centre.

Agensi-agensi negeri, TM Point, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Balai Polis, Klinik Kesihatan dan Klinik Pergigian juga terdapat di UTC itu.

Selain itu,  Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menempatkan pejabat masing-masing di UTC itu.

Di Negeri Sembilan, terdapat sebanyak 12 Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini, empat  dalam daerah Jempol, satu di daerah Kuala Pilah, satu di daerah Rembau, dua di daerah Tampin, satu di daerah Seremban, dua di daerah Jelebu dan satu di daerah Port Dickson bertujuan membolehkan penduduk mendapatkan perkhidmatan awam dengan mudah secara berpusat di satu lokasi. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment