Banjir mengejut, Sungai Galas naik mendadak
GUA MUSANG: Dalam masa sejam, kediaman penduduk dekat Sungai Galas, di sini tiba-tiba ditenggelami air sedalam satu meter menyebabkan 58 mangsa cemas berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), jam 1 pagi tadi.
Mangsa yang berpindah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, di sini menyifatkan kejadian itu pelik kerana hujan tidak begitu lebat selain mendakwa seolah-olah terdapat empangan pecah yang menyebabkan Sungai Galas naik secara mendadak.
Bagaimanapun, sebahagian daripada mangsa sudah mula pulang ke rumah masing-masing memandangkan air mula surut sejak jam 5 pagi tadi.
Kamariah Deris, 59, dari Kampung Batu Satu berkata, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri dalam kejadian banjir bermula jam 1 pagi walaupun semua barang tidak sempat diselamatkan.
Katanya, dia tujuh beranak terpaksa mengharungi air pada paras pinggang ke Tanah Perkuburan Islam tidak jauh dari rumah sebelum dibawa pasukan penyelamat ke PPS.
"Kami pelik air Sungai Galas melimpah dan memasuki rumah secara mendadak seolah-olah terdapat empangan pecah kerana hujan malam tadi tidak begitu lebat berbanding sebelum ini.
"Nasib baik saya belum tidur sebelum menyedari air memasuki rumah dengan laju," katanya.
Syarifah Mat Ali, 45, dari perumahan setinggan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bandar ini pula berkata, kejadian air naik secara mendadak pertama kali berlaku memandangkan sebelum ini banjir berlaku secara perlahan.
Dia mengakui berpindah sehelai sepinggang kerana air sudah memasuki dalam rumah dalam masa sejam hingga semua barang tidak sempat diselamatkan.
"Bagaimanapun, saya sudah boleh pulang ke rumah jam 6 pagi ini selepas air mula surut dan masih rasa cemas ketika perpindahan itu terutama keselamatan anak berusia 11 hingga 19 tahun.
"Apapun saya bersyukur kerana semuanya selamat, tetapi masih bersiap sedia selagi musim tengkujuh belum berakhir," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment