4 pintu Empangan Timah Tasoh masih lepas air

Tuesday, November 28, 2017

4 pintu Empangan Timah Tasoh masih lepas air

4 pintu Empangan Timah Tasoh masih lepas air

PADANG BESAR: Pelepas air melalui empat pintu di Empangan Timah Tasoh, di sini, sejak dua hari lalu berjaya mengurangkan paras takungan di empangan berkenaan sehingga ke tahap normal.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Ir Abdul Najib Abdullah, berkata bagaimanapun pelepasan air masih dilakukan dengan tahap bukaan di keempat-empat pintu air di empangan itu dikecilkan.

"Jika semalam paras air di Empangan Timah Tasoh direkod sehingga 29.67 meter (m) berbanding 29.5m paras normal, namun hari ini kita merekodkan paras air 29.41m.

"Empat pintu empangan yang dibuka juga dikecilkan ketinggiannya dari 400 milimeter (mm) sebelum ini kepada hanya 200mm," katanya.

BH Online semalam melaporkan takungan di Empangan Timah Tasoh yang melepasi paras normal memaksa pintu empangan dibuka dan menyebabkan air naik di Kampung Padang Malau dan Kampung Padang Malau Dalam, di sini.

Empat pintu dibuka dengan ketinggian 400 mm sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa rumah yang terletak berdekatan sungai dinaiki air setinggi 0.3 meter.

Sementara itu situasi banjir di daerah ini semakin beransur baik dengan paras banjir mulai surut, namun jumlah mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara, kekal 16 orang yang membabitkan enam keluarga.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata pihaknya masih menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan setakat ini semua mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, di sini berada dalam keadaan baik.

Tinjauan di kawasan terjejas iaitu Kampung Padang Malau dan Kampung Padang Malau Dalam mendapati air banjir semakin surut.

Penduduk kampung, Lisa Mastura Abidin, 33, berkata banjir yang melanda kawasan ini kali ini tidak seperti sebelumnya, di mana penduduk masih boleh keluar masuk ke jalan utama tanpa sebarang masalah.

"Selain itu, sawah padi juga tidak terjejas teruk seperti sebelumnya," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment