Mangsa banjir di Perak meningkat

Thursday, November 30, 2017

Mangsa banjir di Perak meningkat

Mangsa banjir di Perak meningkat

IPOH: Bilangan mangsa banjir di dua daerah di Perak meningkat kepada 866 orang setakat jam 9 malam ini, berbanding 634 orang petang tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 709 orang membabitkan 158 keluarga di daerah Manjung ditempatkan di pusat pemindahan sementara berbanding 532 orang daripada 115 keluarga sebelum ini.

Dua lagi pusat pemindahan baharu dibuka di daerah berkenaan, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nakhoda Mohamad Taib dan Dewan Orang Ramai Batu 8, Segari.

Empat pusat pemindahan yang sudah dibuka sebelum ini ialah SK Sungai Batu dan Sekolah Agama Rakyat Kampung Tebuk Yan di Pantai Remis, SK Dato Ishak di Lumut dan Dewan BNBBC Batu 4, Segari.

Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Manjung, Syamsul Hazeman Md. Salleh, berkata seramai 123 orang daripada 30 keluarga ditempatkan di SK Dato' Ishak dan SK Nakhoda Mohamad Taib menempatkan 59 orang daripada 13 keluarga.

"Di Dewan BNBBC Batu 4, Segari pula menempatkan seramai 92 orang daripada 20 keluarga dan Dewan Orang Ramai Batu 8, Segari seramai 41 orang daripada sembilan keluarga.

"Seramai 273 orang daripada 58 keluarga pula ditempatkan di SK Sungai Batu, Pantai Remis dan Sekolah Agama Rakyat Tebuk Yan seramai 121 orang membabitkan 28 keluarga," katanya.

Sementara itu, di daerah Muallim, seramai 157 penduduk di empat kampung di Ulu Slim dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Kampung terbabit dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter, iaitu Kampung Lintah, Kampung Sungai Muda, Kampung Ulu Slim dan Kampung Pasir.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Muallim, Kapten (PA) Noshisyam Abdullah, berkata banjir itu berlaku akibat hujan lebat sejak semalam menyebabkan berlaku limpahan air di Sungai Slim.

Katanya, empat pusat pemindahan dibuka iaitu di Sekolah Agama Rakyat Kampung Lintah, surau Kampung Sungai Muda, Dewan Orang Ramai Ulu Slim dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir.

"Akibat air deras, dua buah jambatan rosak iaitu jambatan yang menghubungkan Kampung Gesau ke Ulu Slim dan jambatan yang menghubungkan Kampung Sungai Muda ke Kampung Lintah," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment