Banjir makin buruk di Kelantan

Tuesday, November 28, 2017

Banjir makin buruk di Kelantan

Banjir makin buruk di Kelantan

KOTA BHARU: Banjir yang semakin buruk di Kelantan, menyaksikan sehingga jam 6.45 petang tadi, seramai 3,415 mangsa sudah berpindah ke 55 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

Jumlah itu membabitkan 950 keluarga yang berlindung di PPS meliputi lapan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Jeli dan Bachok.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, Pasir Mas mencatat mangsa banjir paling tinggi membabitkan 900 orang daripada 280 keluarga ditempatkan di 17 PPS.

Diikuti Kota Bharu dengan rekod seramai 832 mangsa membabitkan 202 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.

Pasir Puteh menurut menunjukkan peningkatan apabila seramai 445 mangsa daripada 146 keluarga ditempatkan di lima PPS termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2 dan SK Sungai Petai yabg baru dibuka hari ini berbanding 258 mangsa daripada 81 keluarga, semalam.

Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan dijangka terus meningkat berikutan keadaan hujan masih berterusan di negeri ini.

Paras air Sungai Golok pada lokasi sukatan iaitu di Rantau Panjang, Kuala Jambu dan Jenob, masing-masing sudah melepasi tahap bahaya.

Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial berada pada paras amaran, sementara Sungai Galas di Limau Kasturi dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, berada pada paras berjaga-jaga.

Selain itu, 14 jalan ditutup kepada semua kenderaan termasuk Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata, Jalan Kampung Pek-Paloh Rawa, Jalan Pangkalan Rakit-Batu Karang, Jalan Bukit Tuku-Batu Hampar di Pasir Mas, Jalan Tanah Merah-Kusial, serta Jalan Kok Lanas-Selising di Kota Bharu.

Selain itu, 12 jalan lagi ditutup kepada kenderaan ringan saja termasuk Pangkal Gong-Kemubu di Machang, Pasir Mas-Pohon Tanjung, Lubok Jong-Tanah Merah, Jalan Pengkalan Kubor-Jeram Perdah, serta Jalan Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang dekat Masjid Beijing Rantau Panjang.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment