Tujuh beranak terputus hubungan

Tuesday, November 28, 2017

Tujuh beranak terputus hubungan

Tujuh beranak terputus hubungan

MERBAU MENYUSUT - Tujuh beranak terputus hubungan akibat jalan masuk utama ke rumah mereka di Jalan Butat, Kampung Merbau Menyusut dinaiki air kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Hujan lebat yang bermula awal pagi itu, menyebabkan Hasmah Yusof, 50, suami, Jusoh Salleh, 53, dan lima anak berusia antara empat hingga 30 tahun tidak sempat keluar ke pusat pemindahan berhampiran.

Menurut Hasmah, hujan mula lebat dan naik secara mendadak jam 1 pagi dan mereka sekeluarga mula meletakkan barang-barang ke tempat yang lebih tinggi.

“Sejam kemudian, saya, suami dan anak-anak keluar dari rumah bila tengok air mula masuk dalam rumah.

“Rumah ni tinggi, tapi air naik sampai ke dalam rumah paras betis. Air kat luar rumah sudah cecah tiga meter dan kami terpaksa menumpang di rumah jiran,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam.

Empat motosikal milik keluarga berkenaan juga sempat diselamatkan.

Hasmah berkata, lebih kurang jam 9 pagi semalam, mereka sekeluarga pulang melihat keadaan rumah apabila air sudah mulai surut.

Sementara itu, Jusoh berkata, dia tidak ke mana-mana malam semalam kerana bimbang keadaan rumah.

“Saya tidur di sini (rumah) dengan anak manakala isteri dan anak-anak yang lain tidur di rumah jiran,” katanya.

Jusoh berkata, dia sekeluarga yang tinggal di situ sejak 25 tahun lalu sudah biasa dengan keadaan itu (banjir).

Serik dengan musibah yang berlaku, dia dan keluarga turut mengambil keputusan tidak membeli perabot kerana sering rosak.

“Saya kerja kampung saja, mana mampu nak beli perabot setiap kali kena banjir, sebab itu kami sepakat tak sediakan perabot di dalam rumah terutamanya jenis kayu,” katanya.

Ditanya mengenai bekalan makanan pula, Jusoh berkata, mereka akan menyediakannya lebih awal.

Rumah mereka terletak berhampiran Sungai Kasar menyebabkan limpahan air berkenaan sering memasuki kawasan rumah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment