Banjir Kelantan semakin membimbangkan

Thursday, November 30, 2017

Banjir Kelantan semakin membimbangkan

Banjir Kelantan semakin membimbangkan

KOTA BHARU: Keadaan banjir Kelantan terus membimbangkan apabila mangsa banjir meningkat kepada 14,402 orang dipindahkan di 66 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.

Daripada jumlah itu, 5,717 keluarga terbabit ditempatkan di PPS di enam daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Gua Musang.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, Gua Musang mula membuka tiga PPS pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh, SMK Tengku Indra Petra 1 di Galas dan SK Limau Kasturi 2, Bertam antara jam 10 malam hingga 3 pagi tadi dengan menempatkan kesemuanya 142 mangsa daripada 32 keluarga berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Pasir Mas pula terus mencatat mangsa banjir paling tinggi membabitkan 10,770 orang daripada 4,522 keluarga ditempatkan di 42 PPS termasuk Madrasah Wan Salleh Kampung Senor, Kubang Gadong yang dibuka jam 12 tengah malam tadi.

Ia diikuti Tumpat apabila turut menyaksikan peningkatan dengan rekod seramai 2,338 mangsa membabitkan 819 keluarga yang ditempatkan di enam PPS, berbanding 2,245 mangsa daripada 788 keluarga, malam tadi.

Pasir Puteh pula mencatatkan 821 mangsa daripada 245 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan, manakala Kota Bharu seramai 214 orang daripada 63 mangsa dipindahkan di empat PPS.

Sementara itu, Sungai Galas di Limau Kasturi melepasi paras bahaya iaitu 60.61 meter berbanding paras bahaya ditetapkan 59 meter menjadikan kini tiga sungai berada paras sama termasuk dua Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu.

Empat sungai iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Sungai Golok di Jenob pula melepasi paras berjaga-jaga.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment