Banjir Kelantan cecah 11,500 mangsa
KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 11,500 orang yang berpindah ke 100 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 6.15 petang ini, berbanding 8,611 mangsa pagi tadi.
Daripada jumlah itu, 4,086 keluarga terbabit ditempatkan di PPS di sembilan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Jeli, Tumpat dan Bachok.
Berdasarkan laman eBanjir Kelantan, Pasir Mas mencatat mangsa banjir paling tinggi dengan 7,050 orang daripada 2,852 keluarga yang ditempatkan di 42 PPS.
Ia termasuk Madrasah Haji Ghafar di Rantau Panjang yang dibuka jam 6 petang tadi.
Ini diikuti Kota Bharu dengan 1,469 mangsa membabitkan 370 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.
Sebuah lagi PPS dibuka di Tumpat iaitu SK Bunohan pada 3 petang tadi, menjadikannya tiga PPS yang menempatkan 285 mangsa daripada 92 keluarga.
Pasir Puteh menunjukkan penurunan kepada 671 mangsa daripada 216 keluarga di lapan PPS manakala Tanah Merah juga menyaksikan penurunan kepada 834 mangsa banjir berbanding 848 orang pada pagi tadi.
Sementara itu, paras Sungai Golok di Jenob menunjukkan penurunan daripada paras bahaya 23.52 meter pada jam 7 pagi tadi kepada paras amaran iaitu 22.54 meter pada 5 petang tadi.
Namun, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu kekal pada paras bahaya sementara Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial pada paras amaran.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment