Pasukan khas APM sediakan makanan mangsa banjir
RANTAU PANJANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membentuk pasukan khas penyediaan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pangkalan hadapan, di sini.
Pegawai Kanan APM Unit Rantau Panjang, Mohd Rahimie Mat Lazim, berkata pasukan itu bertanggungjawab menyediakan makanan kepada semua mangsa banjir sebanyak tiga kali sehari.
Katanya, bilangan anggota yang bertugas berbeza bergantung kepada jumlah mangsa banjir, yang mana akan memulakan tanggungjawab mereka bermula jam 5 pagi hingga 6 petang bagi menyediakan sarapan, makan tengah hari dan makan malam.
"Pasukan APM ini terdiri daripada anggota yang terlatih dan pakar dalam penyediaan makanan dalam jumlah yang besar. Malah kewujudan pasukan khas ini banyak membantu mangsa yang sememangnya dalam kesusahan dan sukar mendapat bekalan makanan.
"Pasukan ini juga membuktikan bahawa APM mampu membantu dalam pelbagai bidang bukan saja memberi bantuan dari segi menyelamatkan mangsa malah menyediakan keperluan dan makanan.
"Anggota kita juga turut dibantu pasukan sukarelawan dan mangsa banjir sendiri dalam menguruskan bahan mentah dan penyediaan makanan kepada mangsa. Kerjasama ini sekali gus melancarkan lagi pengurusan banjir kali ini," katanya ketika ditemui BH, hari ini.
Seramai lebih 100 anggota termasuk pegawai APM unit Rantau Panjang bertugas ketika banjir kali ini yang bertanggungjawab dalam pengurusan PPS dan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, anggota khas penyediaan makanan APM, Elias Ibrahim, 30, yang bertugas di PSS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, berkata dia bersama tiga anggota lain mula bertugas menyediakan makanan kepada 763 mangsa banjir sejak semalam.
"Kami pikul tanggungjawab ini dan memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan supaya makan minum mereka terjaga.
"Ini adalah tahun ketiga saya bertugas untuk pasukan ini di PPS dan berpuas hati apabila dapat melihat senyuman mangsa banjir yang dapat menikmati makanan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment