Banjir umpama 'taman tema air'
PASIR MAS: Beberapa kawasan rendah di daerah ini menjadi seakan-akan 'taman tema air' apabila penduduk setempat datang melihat situasi air, di samping meluangkan masa bersama keluarga dan rakan.
Tinjauan BH di Kampung Kedai Tanjong, mendapati suasana terbabit meriah dengan kedatangan penduduk yang berjalan kaki dan bermotosikal, selain kewujudan peniaga minuman dan makanan.
Bagaimanapun, jalan yang menghubungkan Kampung Kedai Tanjong ke Jeram Perdah itu tidak boleh dilalui kenderaan ringan berikutan dinaiki air lebih dua meter.
Penduduk setempat yang juga mangsa banjir, Hafizi Ramli, 34, berkata setiap kali tiba musim banjir kampungnya menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat keadaan yang berlaku memandangkan kawasan itu rendah.
"Kampung ini memang menjadi tumpuan apabila musim banjir kerana air di sini tenang dan sesuai kepada penduduk untuk merasai pengalaman bermain air banjir.
"Selain itu, peniaga yang menjual makanan dan minuman datang mengambil kesempatan mencari rezeki di sini.
"Boleh dikatakan seperti 'taman tema air' di sini kerana ada juga yang berkeluarga datang memberi peluang kepada anak mereka untuk bermain air.
Sementara itu, peniaga makanan dan minuman yang mahu dikenali sebagai Siti, berkata dia mengambil peluang dengan menjual jagung bakar serta air kepada pengunjung yang datang.
"Setiap kali tiba musim banjir saya dan dua lagi adik-beradik akan menyiapkan kelengkapan barangan seperti khemah, tempat pembakar serta bekas minuman untuk berniaga di sini.
"Sebelum ini saya bukan berniaga di mana-mana pasar...saya hanya akan berniaga bila tiba musim tengkujuh saja," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment