Posmen cari penerima di pusat pemindahan banjir
TUMPAT: Demi tanggungjawab yang diamanahkan, surat dan barangan yang dipos akan dipastikan tiba ke tangan penerima walaupun terpaksa meredah banjir.
Mohd Zamri Arifin, 44, yang bertugas sebagai posmen sejak lebih 20 tahun mengakui tugasan ketika waktu banjir amat mencabar, namun atas dasar amanah tugasan itu mesti dilunaskan.
Berdepan dengan pengalaman meredah air separas lutut dengan motosikal, terpaksa berpatah balik akibat jalan terputus hubungan, dan menolak motosikal kerana enjin mati adalah pengalaman biasa dialami beliau dan rakan yang ditugaskan menghantar surat di sekitar beberapa kampung di Chabang Empat di sini.
"Bagi kawasan yang tenggelam atau langsung tidak boleh dilalui, kami biasanya akan mencari penerima di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Jika tidak bertemu mereka di PPS, urusan menghantar akan disambung selepas air mulai surut dan sudah boleh dilalui," katanya ditemui di Kampung Talak ketika ingin menghantar surat ke kawasan sekitar.
Mohd Zamri berkata, jika penghantaran membabitkan barangan atau pos laju, posmen akan berusaha untuk membuat penghantaran sendiri sehingga tiba ke tangan penerima.
Bagaimanapun, katanya, jika sudah habis ikhtiar, posmen akan menghubungi penerima untuk berjumpa di mana-mana lokasi untuk penyerahan.
"Ikhtiar terakhir adalah wakil pos akan menghubungi penerima sendiri untuk datang mengambil di pejabat pos jika kawasan itu dinaiki air," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment