"Saya berdebar air terlalu laju..."
PASIR MAS: Seorang pesakit diabetes dan jantung berdepan detik cemas ketika meredah banjir sejauh lima kilometer, apabila kenderaan yang dipandu anaknya itu turut dimasuki air.
Suainah Ismail, 56, dari Kampung Serunggo, di sini, berkata sebelum itu, kediamannya dinaiki air sehingga paras lutut, manakala di luar rumahnya sudah mencecah paras pinggang.
Paras air yang semakin naik menyebabkan anak lelaki Suainah mengangkat wanita berkenaan masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda dan meredah banjir sejauh lima kilometer, petang semalam.
"Ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan, saya bersama dua anak dalam kenderaan begitu cemas kerana air turut masuk ke dalam kenderaan sehingga paras betis.
"Saya memang berdebar kerana air terlaju dan berdoa supaya selamat sampai ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kiambang," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan, di sini, hari ini.
Suainah bersyukur kerana perjalanannya selamat ke pusat pemindahan dan kenderaan anaknya juga tidak rosak.
"Walaupun banyak kali berdepan banjir, kali ini agak cemas lebih-lebih lagi keadaan saya yang tidak mampu berjalan akibat kencing manis dan masalah jantung.
"Saya sangkakan air naik sekejap saja dan kembali surut menyebabkan kami tidak berpindah walaupun penduduk sudah berpindah lebih awal.
"Selepas ini saya perlu lebih berhati-hati dan terus berpindah sebaik paras air naik memandangkan keadaan saya yang uzur," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment