33 sekolah jadi PPS

Tuesday, November 28, 2017

33 sekolah jadi PPS

33 sekolah jadi PPS

KOTA BHARU: Sebanyak 33 sekolah di negeri ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan seramai 1,977 mangsa banjir, sehingga jam 5 petang tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Muhammad Zahari Othman, berkata pusat pemindahan itu dipantau sepenuhnya oleh Urusetia Bencana Banjir di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

Beliau berkata, walaupun banjir yang melanda negeri ini sejak tiga hari lalu semakin membimbangkan, namun peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berjalan dengan lancar.

"Hujan lebat masih berterusan dan paras air sungai semakin meningkat menyebabkan beberapa kawasan lembah ditenggelami air termasuk sekolah.

"Calon SPM yang tinggal jauh dari sekolah ditempatkan di asrama sekolah dan petugas SPM sudah mendapat kerjasama daripada pihak bomba bagi menyediakan kenderaan untuk pergerakan.

"Peperiksaan STPM sudah tamat hari ini termasuk SPM, kecuali satu pusat saja iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamad Yaacob, Tanah Merah akan tamat pada Khamis ini untuk kertas English, Science and Tectnology (EST)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehingga jam 7.30 malam ini, seramai 3,726 mangsa daripada 1,092 keluarga ditempatkan di 56 PPS di lapan daerah negeri ini.

Sementara itu, tiga sungai iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Golok di Kuala Jambu dan Sungai Golok di Jenob melepasi paras bahaya.

Empat sungai lain iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, dan Sungai Kelantan di Kusial berada pada paras amaran, sementata dua lagi sungai, iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam berada pada paras berjaga-jaga.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment