25 pesawah rugi hampir RM1 juta
TUMPAT - Hujan berterusan sejak Khamis lalu menyebabkan tanaman padi di Bendang Pak Yong dan Jejulok musnah ditenggelami banjir.
Musibah itu menyebabkan 25 petani berputih mata apabila hasil padi mereka yang sepatutnya boleh dituai pada bila-bila masa ditenggelami air.
Dianggarkan kerugian hampir RM1 juta terpaksa ditanggung petani terbabit apabila padi yang ditanam di atas tanah seluas 100 hektar itu musnah.
Petani, Harun Omar, 52, berkata, dia kerugian hampir RM100,000 apabila tanaman padinya seluas 20 hektar musnah.
"Hujan berterusan ini menyebabkan padi tidak dapat dituai, air sungai Golok pula melimpah masuk ke bendang.
"Kami tak dapat berbuat apa-apa, reda dengan ketentuan Ilahi, mungkin tahun ini bukan rezeki kami apabila padi tidak sempat dituai sebelum banjir datang," katanya.
Menurutnya, kejadian ini berlaku disebabkan petani di sini lewat menanam padi bagi musim pertama kerana awal Januari lalu kampung Bendang Pak Yong dan Jejulok dilanda banjir.
Abdul Rahman Che Mamat, 68, pula berkata, dia hanya sempat menuai padi hanya dua hektar sedangkan tanamannya seluas 10 hektar.
"Air naik tiba-tiba, hujan pula tak berhenti, jentera mesin padi sukar nak masuk ke sawah.
"Kami berharap sangat ada perhatian pihak berkaitan bantu kami petani di sini, kali ini kami rugi besar," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment