Mangsa banjir di Terengganu meningkat 1,748 orang
KUALA TERENGGANU - Hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Terengganu menyebabkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,748 orang setakat pukul 4 petang ini berbanding 1,173 orang pada 1 tengah hari tadi.
Enam pusat pemindahan sementara (PPS) baharu kini dibuka untuk menampung 663 keluarga di enam daerah menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ialah di 41 lokasi seluruh negeri.
Daerah Hulu Terengganu merekodkan kenaikan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 820 orang (366 keluarga) di 20 PPS berbanding 497 orang (193 keluarga) di 18 PPS sebelum ini.
Mengikut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Daerah Besut turut mencatat kenaikan jumlah mangsa iaitu 219 orang (102 keluarga) di dua PPS berbanding 116 orang (31 keluarga) pada tengah hari tadi.
"Setiu turut mencatat kenaikan jumlah mangsa iaitu 419 orang (109 keluarga) berbanding 339 orang (74 keluarga) setelah satu lagi PPS dibuka.
"Di Marang pula, terdapat 64 orang (19 keluarga) ditempatkan di lima PPS manakala di Dungun, seramai 164 orang (45 keluarga) dipindahkan ke lima PPS," menurut laporan itu.
Sedikit kenaikan turut berlaku di Kuala Nerus menyaksikan pertambahan kepada 62 orang (22 keluarga) setelah satu lagi PPS dibuka.
Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan dua sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya setakat 4.15 petang ini iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu mencatat bacaan 21.83 meter (m) melepasi paras bahaya 21.50 m dan Sungai Marang di Pengkalan Berangan setinggi 3.06 m (paras bahaya 3.00 m).
Dua sungai yang melebihi paras amaran pula ialah Sungai Besut di Kampung La naik setinggi 20.96 m (paras amaran 20.80 m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebadi Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 17.88 m (paras amaran 17.80 m). รข"Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment