Cabaran remaja barakan iman
BERSYUKURLAH atas segala nikmat yang telah ALLAH SWT limpahkan, terutamanya nikmat agama yang mulia ini iaitu Islam.
Islam bukan sahaja mengatur hidup umat manusia mengikut hal-hal yang telah ditetapkan oleh ALLAH melalui al-Quran dan as-Sunah, bahkan ia adalah gerbang kebaikan di dunia dan juga akhirat.
Kesempurnaan Islam ini terletak pada dua pusaka besar yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu al-Quran dan as-Sunah. Namun, tidak ramai yang mahu menghayati dan mendalaminya. Malah, sebahagiannya juga beranggapan ia sekadar sebuah kitab biasa yang berisikan rangkaian huruf-huruf Arab yang menghiasi lembaran-lembaran yang ada.
Apabila kepentingan beragama ini mula diambil ringan, maka terjadilah pelbagai masalah besar dalam kalangan remaja. Isu remaja tidak kenal Nabi SAW, isu tidak solat, remaja tidak tahu membaca dan hafal Surah Al-Fatihah, tidak puasa, berpakaian menjolok mata dan seumpamanya.
Namun, sampai bilakah ia harus berlanjutan? Siapa pula yang harus ditudingkan jari? Sisipan Fikry cuba merungkai persoalan ini.
Pertanyaan besar yang sering bermain di fikiran, benarkah remaja pinggirkan agama? Saban waktu, ada sahaja berita keruntuhan akhlak dilaporkan di dada akhbar mahupun tular di media sosial. Sama ada sumbang haram, buli, zina, bunuh, dadah, buang anak dan lari dari rumah. Nak kata kurang ilmu, bukankah sedari kecil sudah dididik untuk amalkan hidup beragama? Malah, di sekolah mahupun rumah juga, telah diajar perihal dosa dan pahala.
Maka timbullah pelbagai persoalan, mengapa semudah itu mereka terjebak dengan kemungkaran. Adakah berpunca daripada rakan sekolah, persekitaran, mahupun pengaruh media massa? Atau diri sendiri yang sengaja buat-buat lupa mengenai tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Hakikatnya anak-anak ini adalah anugerah dan amanah ALLAH SWT. Bahkan, sebagai ibu bapa, tiada seorang pun yang mahu anak mereka terjebak ke lembah hina. Pelbagai usaha telah dibuat, termasuklah memberikan didikan yang sempurna, agar mereka menjadi insan yang cemerlang dunia juga akhirat.
Namun, sebenarnya tidak mudah untuk melentur buluh biarpun seawal rebung. Walaupun sudah diberi didikan agama yang sempurna, mereka tetap terjerumus dengan pelbagai permasalahan. Mengapa ia berlaku?
Kurang berkomunikasi
Berkemungkinan, ianya berlaku disebabkan oleh komunikasi yang kurang efektif antara anak dan ibu bapa. Kesibukan serta keterbatasan waktu juga merupakan faktor utama anak-anak ini tidak dapat meluahkan perasaan dan masalah mereka.
Apabila perkara itu berlarutan, anak-anak mula menjauhkan diri dan mencari tempat lain untuk meluahkan isi hati mereka.
Ibu bapa juga harus sedar, boleh jadi perkara ini berlaku berpunca daripada sikap kita yang tidak menjaga hubungan dengan ALLAH. Kelalaian itu sedikit sebanyak akan menjejaskan kesempurnaan hubungan kita sesama insan, termasuklah dengan anak sendiri.
Satu kisah benar yang boleh dijadikan teladan, berlaku kepada sebuah keluarga yang mempunyai masalah hubungan dengan ALLAH dan juga anak mereka. Sepasang suami isteri yang mengabaikan tanggungjawab sebagai Muslim, tidak mementingkan ibadah dalam keluarga sama ada ibadah wajib apatah lagi ibadah sunat. Si suami tidak pernah membawa anak lelaki mereka menunaikan solat Jumaat mahupun solat jemaah di masjid dan surau.
Kegagalan pasangan ini menjaga dan mewujudkan hubungan komunikasi dengan ALLAH, menyebabkan anak mereka juga turut jauh daripada agama.
Berdasarkan cerita di atas, jelas menunjukkan, ibu bapa bukan sahaja pendidik di dalam keluarga, bahkan mereka adalah ikon ikutan bagi anak-anak.
Seorang pendidik
Berbalik kepada isu akhlak di kalangan remaja, kebanyakan kolej dan universiti juga menghadapi masalah yang sama. Pelbagai cara dan usaha dilakukan untuk mengatasi permasalahan ini, namun masih belum nampak penyelesaian.
Sesetengah ibu bapa menyalahkan guru dan pendidik kerana tidak membimbing anak mereka dengan sempurna. Bahkan, ada juga yang beranggapan, kewujudan 'sekolah, kolej atau universiti Islam' ini dapat mengubah sikap anak mereka dengan segera.
Justeru fahami penjelasan daripada Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nur Kareelawati Abd Karim ini, "Adalah tidak wajar sekiranya, golongan pendidik itu disalahkan. Sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendidik, membentuk dan mendisiplinkan anak-anak. Terutamanya anak-anak yang seawal remaja.
"Bukan bermakna ibu bapa perlu tegas setiap masa, tetapi keprihatinan serta peka dengan keadaan anak itu yang diperlukan. Sebagai pendidik, kami sentiasa cuba lakukan yang terbaik, selebihnya ibu bapa itu sendiri yang perlu mainkan peranan.
"Terapkan dalam diri mereka rasa kasih dan hormat pada orang lain. Bertanggungjawab pada masyarakat dan alam sekitar. Serta berikan kesedaran tentang bahaya media sosial jika tidak dikawal."
Seorang pendidik itu tidak pernah jemu mendekati anak didiknya semasa sesi pengajaran kerana itulah masa mereka untuk dekat dengan pendidik. Apabila berada di asrama, mereka dipengaruhi faktor lain pula seperti rakan-rakan dan persekitaran.
Ketika inilah, remaja bertanggungjawab untuk menjaga akhlak mereka dengan berpandukan bekalan yang diberi oleh ibu bapa dan juga guru-guru di samping ajaran daripada al-Quran dan Sunnah.
Apabila remaja meninggalkan rumah untuk menyambung pelajaran sama ada di dalam dan luar negara, mereka hendaklah menjaga hubungan dengan ALLAH dengan cara menjaga solat dan mengikut segala arahan-Nya. Kegagalan menjaga hubungan dengan ALLAH akan membawa kepada keruntuhan akhlak.
Mahu menjadi remaja yang berakhlak mulia, perlulah mendapat didikan dan asuhan yang terbaik daripada ibu bapa yang menjadi fokus dan tunjang dalam kehidupan.
Kekalkan komunikasi yang efektif dengan ALLAH dan orang sekeliling. Remaja yang baik berasal daripada benih yang baik, di samping bergaul dengan orang yang baik dan hidup dengan persekitaran yang sihat. Insan yang terbaik untuk mengekalkan akhlak mulia adalah diri sendiri dan dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dalam kehidupan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment