Budak dikhuatiri lemas, tergelincir dalam tali air
KUALA TERENGGANU: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas selepas dikatakan tergelincir ke dalam tali air yang melimpahi jalan di Sungai Kampung Tok Hakim, Bukit Payung, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Khalid Awalid Juzaiman, 12, sebelum itu dikatakan bermain air di kawasan berhampiran bersama rakannya berikutan lokasi itu dilimpahi air akibat hujan lebat kira-kira jam 9.30 pagi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 9.58 pagi sebelum 11 anggota bersama jentera dan bot dikerahkan ke lokasi sebelum gerakan mencari dan menyelamat mangsa diaktifkan kira-kira jam 10.20 pagi.
"Berdasarkan maklumat, kanak-kanak terbabit dikatakan bermain air bersama rakan di lokasi kejadian sebelum dikatakan tergelincir ke dalam tali air berhampiran, usaha mencari dan menyelamatkan mangsa masih diteruskan.
"Unit skuba dari Balai Kuala Terengganu turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengesan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, JBPM Terengganu dalam satu kenyataan dikeluarkan menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing dan melarang sama sekali untuk bermain atau mandi di sungai atau kawasan dinaiki air kerana arus kuat yang dibawa boleh memudaratkan.
"JBPM berharap pemantauan yang dilakukan oleh ibu bapa dapat menghindari berlakunya perkara tidak diingini terutamanya di musim tengkujuh ini," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment