Bomba hantar ke hospital
RANTAU PANJANG: Seorang pesakit buah pinggang kronik yang juga menghidap hepatitis C, antara yang diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk dibawa ke Hospital Tumpat.
Mohamad Zaki Yahya, 39, sepatutnya mendapatkan rawatan dialisis di Hospital Tumpat, namun tidak dapat berbuat demikian selepas rumahnya dinaiki air serta terputus hubungan.
Dia yang perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu mengambil keputusan menghubungi bomba kerana sudah buntu dengan keadaan air yang semakin tinggi.
"Saya sendiri tidak sihat dan tidak dapat mengharungi air memandangkan kesihatan yang tidak mengizinkan. Hanya mampu meminta bantuan dan Alhamdulillah pihak bomba tidak mengambil masa yang lama untuk datang membantu.
"Awal pagi tadi, saya sudah mendapat panggilan daripada pihak hospital yang meminta saya untuk pergi mendapatkan rawatan kerana jika tidak, ia mengganggu kesihatan saya.
"Saya risau kerana memikirkan isteri, Siti Ropuan Abdullah, 43, serta empat anak berusia 17 hingga 10 tahun di rumah namun, bersyukur apabila menerima panggilan bahawa mereka sudah pun berpindah ke tempat selamat," katanya yang tinggal di Kampung Kubang Rambutan, di sini.
Mohamad Zaki berkata, air mula melimpah masuk ke rumahnya sejak jam 5 pagi tadi.
"Banjir kali ini naik dengan cepat dan menutup laluan saya ke hospital. Memikirkan tahap kesihatan saya yang agak teruk, saya mengharapkan bantuan pihak keselamatan untuk menghantar saya ke hospital.
"Saya dan isteri hanya reda dan memikirkan untuk menyelamatkan diri dan anak-anak. Kami hanya sempat membawa dokumen penting kerana bimbang dihanyut banjir.
"Keputusan untuk terus ke hospital terpaksa dibuat kerana disaran doktor dan demi keselamatan saya sendiri," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment