Mujahid sangkal Najib, bajet institusi tahfiz diteruskan
SUBANG - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mengatakan bahawa beliau percaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak akan mengumumkan sebarang peruntukan kepada institusi tahfiz dalam pembentangan Bajet 2019 bulan depan.
Mujahid memberi jaminan bahawa apa yang disebut Najib adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, setiap tahun dan setiap kali pembentangan bajet memang ada peruntukan untuk institusi tahfiz.
"Saya mahu memberi jaminan pertamanya, apa yang disebut beliau (Najib) tidak benar kerana saya kira setiap kali pembentangan bajet memang ada peruntukan untuk sekolah-sekolah tahfiz.
"Peruntukan berkenaan akan diteruskan dan sebahagian apa yang dibincangkan hari ini melibatkan sekolah-sekolah tahfiz akan dibawa ke Kabinet untuk dibuat sebarang penambahbaikkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) kali ke 16 yang berlangsung selama dua hari di sini, semalam.
Menurut Mujahid, setakat ini beliau belum mengadakan perjumpaan khusus dengan menteri kewangan tetapi ada menghubungi menteri itu bagi memaklumkan bahawa peruntukan untuk sekolah-sekolah tahfiz akan diteruskan dan menambahkan lagi peruntukan berkenaan.
Hadir sama pengetua dan pihak yang terlibat dengan institusi tahfiz dari seluruh negara.
Beliau mempersoalkan, Najib mengatakan kerajaan PH tidak mungkin menyambung jejak langkah BN dalam memberi peruntukan dan dana kepada institusi tahfiz, daripada sudut mana? Adakah peruntukan daripada segi latihan atau fizikal?
"Jika apa yang beliau (Najib) cakap itu sekadar apa yang dia fikir begitu dia kena datangkan alasan.
"Berdasarkan daripada pengetahuan saya, PH mewarisi apa yang ada sebelum pembentangan bajet, itulah yang kita teruskan, tidak ada yang kita batalkan atau hentikan.
"Setahu saya dalam jabatan saya pun semua kita teruskan khususnya dalam institusi tahfiz ini, jadi tidak timbul isu sebahagiannya telah disekat dan sebagainya, saya tidak nampak apa-apa bukti daripada kenyataan itu," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Mujahid mengatakan bahawa, pihak mempunyai maklumat detil tentang sekolah tahfiz yang berdaftar atau tidak dan secara umumnya, akan mengutamakan yang berdaftar kerana ia melibatkan soal keselamatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), soal kokurikulum dan pelbagai lagi.
"Mereka yang lebih patuh dengan syarat-syarat diberikan akan mendapat keutamaan. Sebab kami daripada pihak kerajaan ada satu polisi jadi siapa yang terbaik dan patuh serta ikut polisi sudah tentu dia akan mendapat kemudahan itu.
"Hari ini saya bersama dengan salah satu daripada platform yang mengumpulkan sekolah-sekolah tahfiz seluruh negara, Permata al-Quran, saya mendapat lebih banyak input daripada mereka terutamanya dari segi apa masalahnya, mereka tidak patuh mungkin ia datang daripada kita yang tidak memudahkan cara atau mungkin mereka tidak mahu mengikut sistem kita.
Menurutnya, daripada pertemuan ini dapat melahirkan satu persefahaman yang lebih baik sekaligus dapat mewujudkan kerjasama dengan sekolah-sekolah tahfiz yang ada.
Kelmarin, Najib mendakwa mungkin terdapat saki baki peruntukan untuk institusi tahfiz yang diumumkan ini tidak disambung oleh PH.
"Setakat ini, yang mana sudah dilaksanakan sebelum 9 Mei itu laksanalah, tapi yang saki baki itu mungkin tak disambung," katanya selepas Majlis Tahlil dan Solat Hajat sempena ulang tahun kemerdekaan ke 61 di Maahad Tahfiz Darul Ittifiqiyah.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment