Membudayakan amalan lestari organisasi

Sunday, September 30, 2018

Membudayakan amalan lestari organisasi

Membudayakan amalan lestari organisasi

DEWASA ini beberapa amalan lestari dalam usaha memelihara alam sekitar dan juga meningkatkan kualiti kehidupan giat disarankan oleh pelbagai pihak berwajib.Amalan lestari amat mengutamakan penggunaan sumber air, tenaga, sumber asli yang lain secara berhemah. Selain itu, penggunaan teknologi yang bersih dan mesra alam, dalam kata lain ‘teknologi hijau’ juga dapat mencapai kualiti hidup yang tinggi. Amalan lestari dapat diamalkan di semua tempat dalam kehidupan seharian. Ia boleh diaplikasi dengan mudah sama ada di rumah, di pejabat, di sekolah mahupun di pusat beli-belah.

Dalam menyokong usaha murni ini, amalan lestari turut dijadikan satu polisi di sesetengah pejabat dalam usaha membudayakan amalan hijau ini. Di Greentech Malaysia sendiri, kami turut menyarankan beberapa amalan hijau yang boleh dipraktikkan oleh para pekerja, antaranya:

1. Mengamalkan pembelian berdasarkan perolehan hijau: Perolehan hijau adalah penggunaan amalan bertanggungjawab secara ekologi dalam aktiviti perniagaan yang digunakan untuk memenuhi keperluan bahan, barang, utiliti dan perkhidmatan. Pendekatan ini merupakan salah satu komponen pemerolehan yang mampan, bersama dengan dedikasi kepada tanggungjawab sosial dan kewarganegaraan korporat yang baik.

Syarikat-syarikat kadang-kadang membuat keputusan pembelian secara individu dengan memberi kesan kepada kesan ekologinya, yang menyedari faedah-faedah hubungan positif yang dapat dilakukan oleh tindakan. Walau bagaimanapun, pemerolehan hijau adalah komitmen yang berterusan untuk pengurusan proses permulaan hingga selesai dengan pertimbangan untuk kesan alam sekitar.

2. Pengurangan penggunaan kertas: Penggunaan kertas dihadkan di mana kebanyakan dokumen-dokumen ditukarkan kepada aliran kerja elektronik, sebagai contoh slip gaji kakitangan tidak lagi dicetak sebaliknya diserahkan melalui email. Kaedah ini dapat membantu mengurangkan kos berkaitan seperti mencetak, membuat salinan dan juga penyimpanan.

Selain itu, kertas kitar semula serta penggunaan kedua-dua belah bahagian kertas turut digalakkan supaya dapat mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Sebagai perkongsian, sebanyak tujuh belas (17) batang pokok terpaksa ditebang dalam proses penghasilan satu tan kertas. Dengan pengurangan penggunaan kertas ini, secara tidak langsung kita turut dapat memelihara sumber semula jadi, mengelakkan pencemaran serta mengurangkan pembaziran air dan tenaga.

3. Penjimatan tenaga: Kempen kepada pekerja berkaitan penjimatan tenaga antaranya amalan menutup lampu, televisyen, penghawa dingin dan alat pandang dengar (audio visual) sebaik sahaja selesai penggunaannya. Menggalakkan penggunaan peralatan elektrik yang mempunyai kemampuan ‘Cekap Tenaga’ Label ‘Energy Star’ atau ‘Cekap Tenaga’ pada peralatan elektrik membuktikan peralatan elektrik tersebut menggunakan tenaga elektrik secara cekap. Menguatkuasakan waktu ON dan OFF sistem elektrik di pejabat  seperti waktu rehat (1-2 petang) dan mematikan bekalan selepas waktu bekerja (5 petang).

4. Kitar semula & pelupusan sisa: Kempen kitar semula boleh dianjurkan di premis pekerjaan untuk mengurangkan sisa pepejal. Program kitar semula ini dapat membantu komuniti menikmati nilai hidup dalam persekitaran yang lestari dan mesra alam dengan mengurangkan, menggunakan semula dan kitar semula. Pengasingan sampah yang dihasilkan perlu dibuat di rumah dan di pejabat, dan dengan cara ini kita dapat mengumpul dan mengitar semula setiap barangan terbuang.

5. Perkongsian kenderaan: Selain daripada dapat menjimatkan perbelanjaan petrol, kempen perkongsian kenderaan ke tempat kerja turut dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara. Kempen ini juga dapat dilaksanakan untuk mengurangkan masalah pulau haba dan jejak karbon.

Justeru, bahagian sumber manusia dan juga pentadbiran dalam sesebuah organisasi memainkan peranan penting dalam mewujud dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan amalan hijau/lestari dalam urusan seharian. Adalah menjadi tanggungjawab setiap organisasi abad ini dalam memberikan kesedaran kepada kakitangan mereka berkenaan amalan hijau untuk membantu organisasi  mengekalkan alam sekitar dan sumber semula jadi untuk generasi akan datang.

“Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, hargailah alam sekitar supaya anak cucu kita dapat menikmatinya “ â€" Mahatma Gandhi

Teknologi Hijau untuk Semua !            

* Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Green Tech Malaysia, drmasa@greentechmalaysia.my



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment