Jangan terpengaruh dakyah pecah belahkan Melayu

Saturday, September 29, 2018

Jangan terpengaruh dakyah pecah belahkan Melayu

Jangan terpengaruh dakyah pecah belahkan Melayu

LARUT - Rakyat khususnya orang Melayu tidak harus terpengaruh dengan sebarang penyebaran dakyah pihak tertentu yang cuba mengelirukan pemikiran kononnya hak bangsa itu tergadai di bawah kerajaan PH.  

Demikian yang ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya sekaligus membidas tindakan sedemikian yang dianggap tidak realistik serta tidak bertanggungjawab.

Katanya, isu kedudukan serta hak orang Melayu tidak harus timbul apatah lagi digembar-gemburkan pada hari ini sekiranya parti politik yang pernah mentadbir kerajaan dalam tempoh masa yang lama sebelum ini benar-benar melaksanakan sesuatu perubahan untuk bangsa itu.

"Hari ini, apabila mereka tidak lagi berkuasa, parti itu cuba memainkan sentimen memecahbelahkan orang Melayu kononnya hak mereka digadaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Akan tetapi apa yang mereka buat selama ini untuk orang Melayu?.

"Mereka cuba mainkan sentimen 'Melayu Bangkit'. Apakah selama ini orang Melayu tidur," soalnya.

Abu Bakar Yahya menyampaikan ucapan sempena Majlis Penerangan Isu-isu Semasa dan Penyerahan Keahlian Bersatu di Taman Sentosa, Larut, Perak hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penerangan Isu-isu Semasa dan Penyerahan Keahlian Bersatu di Taman Sentosa, di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Armada Bersatu Perak, Hafez Mubin Mohd. Salleh dan bekas calon PH Parlimen Larut, Datuk Anuar Akhiruddin.

Pada masa sama, Abu Bakar turut mengingatkan orang Melayu bahawa untung nasib bangsa itu pada masa depan adalah terletak di tangan orang Melayu sendiri dengan berusaha lebih kuat selain membuang unsur-unsur yang melemahkan bangsa itu.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri menerima 1,653 borang keahlian Bersatu dari bahagian Larut yang menandakan keyakinan rakyat terhadap perjuangan Bersatu.

"Saya yakin Bersatu mampu menjadi parti dominan dalam Pakatan Harapan. Untuk itu kita perlu ramaikan ahli dalam memperkasakan usaha membela agama, bangsa dan negara.

"Bagi mencapai usaha ini, pemimpin dan ahli di semua peringkat perlu wujudkan satu kombinasi yang mantap dan saling melengkapi di antara satu sama lain," ujarnya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment