Warga emas maut kereta terjunam parit
KAMPUNG GAJAH - Seorang warga emas maut selepas kereta terbabas dan menjunam ke dalam parit di Kampung Tersusun Air Kuning, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 1.15 pagi itu, menyebabkan Yaacob Hitam, 65, dari Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Matang Tok Embing, Kampung Gajah maut dilokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, Yaacob yang bekerja sebagai peniaga kedai makan dalam perjalanan dari Sungai Galah menghala ke Teluk Intan.
"Apabila tiba di tempat kejadian di jalan berselekoh kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.
"Akibat kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya hasil bedah siasat dijalankan pihak hospital mendapati punca kematian disebabkan âLeft Haemothorax with Multiple Rib Fracturesâ.
Mohamad Zainal berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan berkenaan merupakan jalan selekoh dua hala dan keadaan ketika itu gelap ekoran tiada lampu jalan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Harina Abd Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 2.15 pagi dan bergegas ke lokasi.
"Setibanya anggota mendapati sebuah kereta jenis Perodua Kancil terjunam ke dalam parit dan kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa dilakukan sebelum diserahkan kepada polis," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment