Bukan mudah ambil tindakan kes keluar parti

Sunday, September 30, 2018

Bukan mudah ambil tindakan kes keluar parti

Bukan mudah ambil tindakan kes keluar parti

KUALA LUMPUR - Tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat yang meninggalkan parti yang diwakili ketika pilihan raya bukan mudah untuk dilakukan kerana banyak perkara yang perlu diperhalusi, apatah lagi peruntukan undang-undang seperti itu belum lagi wujud.

Jika untuk menuntut ganti rugi terhadap kos yang parti keluarkan ketika proses pilihan raya ia mungkin boleh dilakukan, tetapi untuk memaksa seorang wakil rakyat mengosongkan kerusi yang dimenangi jika mereka keluar atau lompat parti, undang-undang seperti itu belum ada di Malaysia.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata sesebuah parti itu tidak boleh mengambil tindakan terus kerana mereka yang lompat parti, keanggotaan mereka secara sendiri telah terbatal.

“Lompat melompat parti ini bukan suatu benda yang baharu bahkan ia telah lama berlaku. Kalau wakil rakyat menang dan keluar daripada parti yang mereka wakili, keanggotaan itu akan terbatal. Kalau dah terbatal keahlian, nak ambil tindakan macam mana.

“Kalau nak sekat mereka daripada lompat, Malaysia tidak ada undang-undang khusus menghalang wakil rakyat yang melompat untuk menyertai parti lain melainkan sebelum mereka menjadi calon, ada aku janji ataupun perjanjian yang ditandatangani...itupun melibatkan soal membayar ganti rugi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Abdul Halim berkata jika mereka ingin wakil rakyat mengosongkan kerusi terlebih dahulu, perlu ada pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya peruntukan undang-undang itu diwujudkan.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan mengambil  tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat daripada parti itu yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

[ ARTIKEL BERKAITAN: YB Umno keluar parti berdepan tindakan undang-undang ]

Katanya Umno juga akan menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan pihak berkenaan juga perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ahmad Zahid juga berkata semua wakil rakyat Umno akan diminta menandatangani surat aku janji dan jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas atau pun menyertai parti lain, status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik dan parti  akan menuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi.

Ini berikutan Umno berhadapan dengan beberapa wakil rakyatnya yang bertindak keluar parti, selepas kalah pada PRU14.

Bagi Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, tindakan menyaman mereka yang keluar daripada parti adalah dianggap melanggar kebebasan berpersatuan.

“Dalam kes ini, Umno adalah persatuan. Sewaktu dia menjadi ahli adalah tanggungjawab parti membolehkan dia bertanding dan kalau dia meninggalkan parti berkenaan, dia disaman. Ia boleh dianggap kebebasan berpersatuan itu disekat oleh parti,” katanya.

Shamrahayu berkata seharusnya tiada syarat yang dikenakan wakil rakyat meninggalkan parti kerana mereka mempunyai hak kebebasan berpersatuan.

“Tapi ada juga kemungkinan saman itu boleh diteruskan oleh Umno di mahkamah kerana mereka telah menghabiskan banyak wang ringgit dan sebagai ganti rugi bagi membolehkan mereka bertanding atas tiket Umno,” katanya. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment