Wanita disyaki menipu ditahan

Saturday, September 29, 2018

Wanita disyaki menipu ditahan

Wanita disyaki menipu ditahan

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita yang terlibat dalam kes penipuan online, dua tahun lalu, dicekup polis di perkarangan Mahkamah Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Menurut sumber, sebelum ini suspek berusia 24 tahun, dari Kepong, Kuala Lumpur, disyaki menipu seorang pelajar perempuan yang menyebabkan mangsa menanggung kerugian RM2,100.

Katanya, dalam kejadian pada Januari 2016 itu, mangsa yang berusia 18 tahun dari Kampung Bukit Depu, di sini, berminat membeli sebuah telefon bimbit jenama I-Phone yang diiklankan suspek dalam sebuah portal jualan terkenal.

"Tertarik dengan harga ditawarkan, mangsa  menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan yang dia berminat untuk membeli telefon bimbit diiklankan itu.

"Sejurus itu, mangsa diminta membuat bayaran deposit berjumlah RM1,500 ke dalam akaun bank diberikan dan tanpa bersoal jawab, mangsa terus bersetuju sebelum berbuat demikian pada 27 Januari 2016," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sumber berkata, bagaimanapun, selepas memasukkan wang deposit, suspek sekali lagi mengarahkan agar mangsa membuat bayaran penuh dan berjanji akan menghantar telefon bimbit itu dalam kadar segera sejurus bayaran diterima.

Mangsa terus akur dengan arahan sebelum memasukkan wang baki ke dalam akaun sama, dua hari kemudian.

"Mangsa yang selesai membuat pembayaran terus memaklumkan kepada suspek dengan harapan barang tersebut dapat dihantar segera, tetapi malangnya, suspek gagal dihubungi.

"Setelah hampir sebulan suspek tidak dapat dikesan, mangsa yakin dirinya sudah ditipu sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,"katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman untuk siasatan lanjut.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment