Kes lemas makin meningkat

Sunday, September 30, 2018

Kes lemas makin meningkat

Kes lemas makin meningkat

KUALA TERENGGANU â€" Kesedaran masyarakat yang masih kurang berhubung langkah keselamatan di air menjadi antara punca menyebabkan jumlah kematian akibat lemas berlaku peningkatan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, insiden mati lemas meningkat daripada 260 kes pada 2016 kepada 327 kes pada tahun 2017 manakala bagi lapan bulan pertama pada tahun ini pula mencatatkan sebanyak 194 kes di seluruh negara.

Angka itu melibatkan kes-kes kejadian lemas di sungai, air terjun, pantai, tasik, lombong dan juga empangan.

Berdasarkan rekod JBPM, sehingga Ogos tahun ini, negeri Selangor paling banyak merekodkan jumlah kematian akibat lemas iaitu 44, diikuti Sarawak (34) dan Perak (22).

“Negeri-negeri lain seperti Pahang juga mempunyai kes lemas iaitu sebanyak 21, Kelantan (20), Sabah (18), Kedah (16), Terengganu (13), Johor (10), Negeri Sembilan (10), Pulau Pinang (5), Melaka (4), Perlis (1) dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (1).

“Melihat kepada kadar berkenaan, terbuktilah kesedaran masyarakat tentang keselamatan di air masih rendah dan kerajaan juga perlu melakukan kaedah-kaedah tertentu bagi mengatasi masalah itu supaya tidak membimbangkan pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Peringkat Negeri Terengganu di Pulau Warisan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zamri Salleh, Pengarah JBPM Negeri, Azlimin Mat Noor.

Dalam masa sama, jabatan bomba juga telah mengenalpasti kawasan-kawasan ‘panas’ iaitu 12 lokasi berisiko tinggi dan 34 kawasan berisiko di seluruh negara.

“Antara 12 kawasan berisiko tinggi yang dicatatkan melibatkan seperti Sungai Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah, Air terjun Sungai Sendat, Selangor dan Empangan Semenyih, Selangor serta Pantai Nipah dan Muara Tok Bali, Kelantan.

“Manakala antara 34 kawasan berisiko pula ialah Sungai Panggung Wayang Lama, Jitra, Kedah, Air Terjun Belukar Bukit, Terengganu, Tasik Bekok, Johor dan Pantai Tanjung Kuala Kemasik,” katanya.

Ekoran itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memasang papan-papan tanda amaran dengan menggunakan simbol-simbol ISO supaya mudah difahami oleh semua pengunjung.

Sebagai langkah proaktif lain, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji dan menggubal undang-undang yang bersesuaian bagi tujuan penguatkuasaan keselamatan di air dan rekreasi oleh Jabatan Kerajaan Tempatan.

PBT juga akan didedahkan dengan garis panduan pengurusan dan penyelenggaraan kolam renang di kawasan PBT yang dijangka diumum awal tahun depan.

Beliau turut menasihati pelancong untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan semasa menjalankan sebarang aktiviti melibatkan air termasuk pemantauan ibu bapa terhadap pergerakan anak-anak memandangkan kejadian lemas yang berlaku di dalam negara banyak melibatkan kanak-kanak dan juga pelajar.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment