Bapa maut nahas LPT2

Sunday, September 30, 2018

Bapa maut nahas LPT2

Bapa maut nahas LPT2

DUNGUN - Seorang bapa maut dalam nahas jalan raya di kilometer 343. 3, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.00 pagi, mangsa Muhammad Aniq Hakim Rozmi, 23 terbunuh selepas Perodua Kelisa yang dipandu terbabas dan merempuh penghadang jalan.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isterinya, Nur Fatinie Rokhman, 24 yang beralamat dari Panchor Kemunin, Kota Bharu, Kelantan bersama bayi mereka, Muhammad Adam Rizqi terselamat.

Nur Fatinie yang juga seorang jururawat turut tercedera dan dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Dungun, manakala bayi berusia setahun tiga bulan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sewaktu kejadian keluarga berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun turut dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Operasi, Ruzali Mat Rasa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.05 pagi.

"Satu jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi mengeluarkan mangsa tersepit.

"Ketika tiba di lokasi seorang wanita dewasa bersama bayinya sudah dikeluarkan oleh peronda lebuhraya dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

"Pihak bomba mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Mayat mangsa yang bekerja di sebuah syarikat perindustrian Kemaman itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment