Tiga rakyat Indonesia seludup haiwan terlarang dipenjara
KANGAR รข" Tiga rakyat Indonesia yang mengaku bersalah terhadap 26 pertuduhan menyimpan, menzalimi dan mengimport 80 haiwan serta unggas terlarang secara haram masing-masing dihukum penjara empat tahun dan denda berjumlah RM390,000.
Muhammad Yunus, 50, Udin, 45, dan Junaidi, 43, dari Sumatera dihukum penjara antara enam bulan hingga empat tahun bagi setiap pertuduhan dengan Hakim Mahkamah Sesyen Kangar Johari Hassan memerintahkan hukuman dijalankan serentak iaitu empat tahun sahaja.
Beliau turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman penjara selama 135 bulan lagi jika gagal menjelaskan denda itu.
Mereka dituduh mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Seksyen 86(1)(b) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama iaitu denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi menyimpan dua ekor Orang Utan Sumatera tanpa permit khas, mereka dihukum di bawah Seksyen 69 (1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Shah Rudin Othman berkata ketiga-tiga tertuduh diberi masa selama 14 hari untuk melantik peguam bagi membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan.
Kastam Marin Kuala Perlis yang menahan kapal KM Mahligai dari Sumatera di perairan Kuala Perlis/Langkawi pada pukul 12.25 pagi 21 September lepas menemui masing-masing dua anak Orang Utan, anak musang albino, burung cenderawasih, burung alba cockatoo dan burung electus parrot, seekor burung kuang raya betina, 21 burung bayan nuri dan 48 anak buaya tembaga.
Sebanyak 355 tupai sugar glider yang ditemui di dalam kapal tersebut bagaimanapun bukan spesies haiwan terlarang. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment