PRK PD: Anwar mulakan kempen pertama bertemu komuniti Sikh

Saturday, September 29, 2018

PRK PD: Anwar mulakan kempen pertama bertemu komuniti Sikh

PRK PD: Anwar mulakan kempen pertama bertemu komuniti Sikh

PORT DICKSON - Calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan kempen pertamanya sebaik selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dengan beramah mesra bersama masyarakat Sikh di rumah ibadat mereka, Gurdwara Saheb di sini, hari ini.

Dalam kunjungan selama satu jam itu, Ketua Umum PKR itu berkongsi harapan agar keamanan dan keharmonian kaum yang terjalin selama ini terus dipertahankan.

"Saya hormati semua agama dan nilai. Saya hargai perbezaan. Untuk ini saya akan dapat beberapa sokongan tetapi juga cemuhan. Saya percaya kehadiran saya di sini akan mengakibatkan kehilangan  beberapa undi daripada kalangan golongan Islam konservatif, tetapi biar saya beritahu mereka bahawa dalam agama saya (Islam), menghormati dan memahami budaya dan agama yang berbeza adalah penting,รข€ katanya ketika berucap pada majlis minum petang itu.  

Mengiringi Anwar ialah Naib Presiden PKR yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jeyakumar. Mereka disambut Presiden Gurdwara Saheb Port Dickson, Sanjeet Singh.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Pada PRU14 lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Parlimen Port Dickson mempunyai sejumlah 75,770 pengundi. Daripada jumlah itu, 43 peratus adalah pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain, dua peratus.

Anwar akan menghadapi pertandingan tujuh penjuru. Yang menentang beliau ialah bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Bin Abdul Samad (Bebas), Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (Pas), Lau Seck Yan (Bebas), Saiful Bukhari Azlan  (Bebas), Stevie Chan (Bebas), Kan Chee Yuen (Bebas). - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment