PBS bentuk 'Gabungan Bersatu' tanpa Umno

Sunday, September 30, 2018

PBS bentuk 'Gabungan Bersatu' tanpa Umno

PBS bentuk 'Gabungan Bersatu' tanpa Umno

LABUAN - Parti Bersatu Sabah (PBS) meneruskan usaha untuk membentuk gabungan pembangkang yang baharu, dikenali sebagai “Gabungan Bersatu”’ bagi mewakili dan memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak tanpa Umno.

Timbalan presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata gabungan itu juga terdiri daripada ahli Parlimen dan Adun yang berstatus bebas dari kedua-dua negeri.

Beliau berkata ini dicapai kerana kesepakatan sebelumnya dengan Umno untuk membentuk pakatan terdiri daripada PBS, Umno dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak menjadi kenyataan kerana Umno belum mencapai sebarang keputusan mengenai perkara itu.

“Saya dimaklumkan bahawa kepimpinan Umno masih memberi perhatian terhadap cadangan untuk menyertai pakatan itu kerana perlu mendapat restu daripada kepimpinan pusat...kecuali mereka (ahli Parlimen dan Adun) meninggalkan Umno, maka barulah mereka boleh (secara bebas) menyertai pakatan tersebut.

“Bagaimanapun,  saya juga dimaklumkan bahawa mereka juga memohon autonomi, yang sangat tidak jelas...apakah yang dimaksudkan dengan autonomi dan sejauh mana autonomi itu?

“Namun, berdasarkan maklum balas dari akar umbi, kami berpendapat bahawa selagi Umno bersama kami,, gabungan itu tidak akan bertahan lama,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan agung tahunan PBS Labuan di sini hari ini.

Dr Maximus berkata agenda utama gabungan itu adalah mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan soal penurunan kuasa.

“Walaupun pendirian Umno yang tidak pasti, kami akan terus bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negeri terutama di parlimen,” kata beliau.

Dr Maximus juga tidak menolak kemungkinan bekas Menteri Luar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman menyertai gabungan itu di tengah-tengah laporan baru-baru ini yang mendakwa bahawa beliau sedang menimbang untuk menjadikan Pakatan Harapan sebagai pentas politiknya yang baharu.

“Saya bertemu dengan beliau dua hari lepas dan menawarkan kepadanya untuk menyertai gabungan Sabah dan Sarawak. Saya optimistik jika Anifah menyertai pakatan itu, gabungan tersebut akan berkembang, tetapi kita perlu menunggu beliau membuat pengumuman,” katanya. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment