Kula, Thomas tarik diri pemilihan DAP Perak
IPOH - Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran dan Penolong Setiausaha Penganjur DAP, Thomas Su Keong Siong menarik diri pada pemilihan DAP Perak yang akan diadakan pada 14 Oktober ini.
Kula Segaran berkata, mereka mengambil keputusan itu untuk memberi tumpuan sepenuhnya tugas baharu mereka sebagai Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Kampar serta tugas parti di peringkat kebangsaan.
Menurutnya, mereka sepakat memberi laluan kepada muka baharu untuk membarisi kepimpinan DAP negeri walaupun nama mereka dicalonkan untuk pemilihan kali ini.
"Kami telah dicalonkan bersama sembilan calon yang lain untuk bertanding namun, kami membuat keputusan untuk menarik diri sebagai calon dalam pemilihan yang diadakan setiap dua tahun ini.
"Keputusan itu adalah bagi memfokuskan tugas di peringkat persekutuan tambahan kami sudah tidak bertanding di peringkat negeri sejak 2010," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Ipoh Barat di sini, hari ini.
Beliau menafikan keputusan itu diambil bukanlah disebabkan adanya konflik beliau dengan kepimpinan negeri.
"Sejak dilantik sebagai menteri, saya tidak mempunyai cukup masa untuk menggalas tugas lain. Biar muka baharu yang lebih segar memimpin dan memperkasakan parti," katanya.
Kula Segaran turut memperkenalkan sembilan calon yang akan bertanding pada pemilihan itu dan berharap perwakilan dapat memberi sokongan terhadap calon terbabit.
"Calon tersebut adalah Choo Ooi Beng dari cawangan Kuala Kangsar, Loh Eng Soon (Kampung Acheh Baru), Ling Lok Hock (Kampung Cina), Pooi Yong Hwa (Teluk Intan), Ng Lai Hoong (Pasir Pinji), Cheong Chee King (Taman Canning), Tho Siew Foong (Aulong), N Muniandy (Ipoh Barat) dan Beh Boon Chong (Pantai Remis).
"Kami harap semua perwakilan dapat memberikan sokongan kepada sembilan calon berkaliber ini yang mampu membawa kepada kekuatan parti dengan sokongan muka baru," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment