TPM seru komuniti jauhi dadah

Saturday, September 1, 2018

TPM seru komuniti jauhi dadah

TPM seru komuniti jauhi dadah

PETALING JAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar seluruh komuniti di negara ini dapat menjauhi gejala penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, penyalahgunaan dadah bukan sahaja meruntuhkan institusi kekeluargaan malah tidak memberi sebarang manfaat kepada mana-mana pihak.

"Dadah ini satu toksik bukan sahaja kepada penggunanya namun juga melibatkan persekitaran dan keluarga masing-masing," katanya ketika berucap sewaktu Karnival Komuniti Prihatin dan Hari Terbuka Universiti Selangor (Unisel), di Desa Mentari, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berhadapan masalah sewaktu di penjara sebelum ini apabila kebanyakan daripada banduan yang ditahan terlibat dalam gejala penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, bilangan kes baharu dilihat melebihi kes berulang dan ini menunjukkan program pencegahan dadah sebelum ini dilihat tidak berkesan walaupun terdapat banyak dana telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

"Berdasarkan laman web Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), jumlah penagih yang dikesan mengikut status kes yang dilaporkan pada tahun 2017 adalah sebanyak 18, 440 kes baharu dan 7, 482 kes berulang.

"Disebabkan itu, saya menyeru seluruh masyarakat untuk menolak gejala dadah ini yang memberi banyak kesan buruk," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran program tersebut, Wan Azizah berkata, inisiatif seperti ini yang dilaksanakan oleh Unisel dapat memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai perkara-perkara berkaitan pembangunan sosial khususnya di Selangor.

Beliau berkata, slot Santai@Unisel Siri 10 dengan tajuk 'Dadah 1001 Masalah' merupakan satu pendekatan yang amat strategik kerana slot ini mengupas berkenaan isu-isu berkaitan penyalahgunaan dadah.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment